Isnin, 1 March 2021 | 3:44pm
Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.- Foto fail NSTP
Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.- Foto fail NSTP

Status PKP diumum esok

PUTRAJAYA: Status Perintah Kawalan pergerakan (PKP) yang masih berjalan di empat negeri ketika ini akan diumumkan esok selepas ia dibincangkan pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, petang ini.

Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata keputusan sama ada ia akan dilanjut atau ditamatkan selepas 4 Mac ini akan diputuskan selepas Kementerian Kesihatan (KKM) membentangkan penilaian risiko pada sidang khas itu.

"Saya pasti pasukan KKM, Ketua Pengarah Kesihatan akan membentangkan penilaian risiko pada mesyuarat itu, kami akan bincangkan dan menilainya sebelum membuat keputusan.

"Keputusan untuk melanjutkan PKP itu juga berdasarkan kepada pengalaman dan data diperoleh sejak setahun lalu.

"Sebagai kerajaan yang telus dan bertanggungjawab, penjelasan akan diberikan kepada rakyat bagi setiap keputusan yang dibuat," katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, perlu ada justifikasi terhadap keputusan melanjut atau menamatkan PKP di empat negeri itu, berdasarkan bukti data dan sains.

Katanya, sebarang data dan fakta yang dikumpul juga sentiasa dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Alhamdulillah dengan sokongan rakyat dan banyak pihak memberikan pandangan, kita membuat keputusan yang baik setakat ini dan kita akan terus berbuat demikian, Insya-Allah akan diumumkan esok," katanya.

Berita Harian X