Sabtu, 27 Februari 2021 | 9:42pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

NADMA kenal pasti anggota APM terima suntikan vaksin

ALOR GAJAH: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sedang mengenal pasti pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang akan diberi suntikan vaksin dalam fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, berkata mereka termasuk dalam kalangan yang kerap berurusan dengan orang awam secara terus, sekali gus berisiko terdedah dengan virus berkenaan.

Beliau berkata, senarai nama mereka masih belum diputuskan setakat ini, namun beliau yakin ia akan dapat dimuktamadkan selewat-lewatnya minggu hadapan.

"Bagi fasa pertama ini sebahagiannya akan diberi keutamaan manakala sebahagian lagi akan diberi suntikan secara berperingkat mengikut fasa yang ditetapkan," katanya selepas Program Info On Wheels (IOW): Hebahan Mengenai Program Vaksinasi dan Proklamasi Darurat di Pasar Malam Alor Gajah di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau mengedarkan risalah berkaitan kepentingan vaksinasi di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dalam usaha memutuskan rantaian pandemik di negara ini kepada pengunjung dan peniaga di pasar malam itu.

Sementara itu, Mohd Redzuan berkata, Program IOW penting dalam usaha menyalurkan maklumat tepat dan sahih, berkaitan kepentingan vaksinasi kepada rakyat agar program berkenaan berjalan lancar.

Beliau berkata menerusi program turun padang itu juga, rakyat akan digalakkan untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19, sekali gus segera membuat pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera.

"Kita turut menyarankan kepada rakyat terus mengamalkan norma baharu dalam kehidupan mereka seperti memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial walaupun telah mendapat suntikan vaksin," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X