Sabtu, 27 Februari 2021 | 9:40pm
Bas membawa pesakit COVID-19 terbabit kemalangan di Plaza Tol UPM, Serdang, hari ini. - FOTO IHSAN PEMBACA
Bas membawa pesakit COVID-19 terbabit kemalangan di Plaza Tol UPM, Serdang, hari ini. - FOTO IHSAN PEMBACA

Bas rempuh plaza tol dipercayai alami kegagalan brek

KUALA LUMPUR: Bas membawa pesakit COVID-19 yang merempuh Plaza Tol UPM, Serdang, dekat sini, petang tadi, dipercayai mengalami masalah kegagalan brek.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at, berkata insiden berlaku ketika bas terbabit dalam perjalanan berkonvoi dari Teluk Intan, Perak, ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) 2.0.

Akibat nahas kira-kira jam 2 petang itu, katanya, pemandu bas berusia 41 tahun berasal dari Teluk Intan berkenaan cedera di kaki dan dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut sebelum hasil ujian calitan mendapati beliau turut positif COVID-19.

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan ujian saringan air kencing dijalankan terhadap pemandu itu didapati negatif.

"Ketika kejadian, 11 bas membawa 431 pesakit COVID-19 daripada Kluster Jalan Changkat Jong dalam perjalanan secara berkonvoi ke PKRC MAEPS di Serdang.

"Bas yang terbabit kemalangan berada di kedudukan nombor sembilan dalam barisan konvoi itu dengan membawa 40 penumpang.

"Hasil siasatan awal mendapati bas itu hilang kawalan lalu terbabas ke lorong Touch 'n Go di plaza tol berkenaan.

"Pemandu mendakwa kemalangan itu berpunca daripada masalah kegagalan brek, namun siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan itu, beliau berkata, lapan penumpang bas terbabit mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan lanjut di PKRC MAEPS.

Katanya, mereka bersama penumpang lain bas itu dibawa ke pusat berkenaan dengan menggunakan sebuah bas lain.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita berkaitan:

  • Bas ekspres bawa pesakit COVID-19 rempuh plaza tol
  • Berita Harian X