Sabtu, 27 Februari 2021 | 4:33pm

Kerajaan lantik WCR Bhd untuk pembesaran lapangan terbang

KOTA BHARU: Kerajaan bersetuju melantik WCT Bhd sebagai kontraktor projek pembesaran dan menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa, membabitkan kos RM440 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata syarikat berkenaan dijangka memasuki tapak pada April ini.

Katanya, mengikut perancangan, projek berkenaan akan siap pada pertengahan tahun 2024.

"Komponen utama projek ini membabitkan pembinaan bangunan terminal baharu yang berkonsepkan reka dan bina dengan pengasingan balai ketibaan dan pelepasan.

"Apabila siap kelak, bangunan terminal baharu ini mampu mengendalikan empat juta penumpang setahun.

"Projek ini juga membabitkan pembinaan tempat letak kereta bertingkat. Jambatan udara (Aerobridge) akan ditambah lima lagi menjadikan jumlah keseluruhannya lapan jambatan selepas ini," katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.

Mustapa berkata, jalan keluar dan masuk ke lapangan terbang juga akan ditambah baik demi keselesaan pengguna.

"Projek lapangan terbang ini adalah antara projek terbesar di Kelantan. Projek ini akan meningkatkan kesalinghubungan di antara negeri ini dengan negeri-negeri lain di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata, LTSIP di Pengkalan Chepa adalah lapangan terbang domestik paling sibuk di negara ini dengan mengendalikan 1.8 juta penumpang pada 2019.

"LTSIP perlu dibesarkan dan dinaik taraf bagi menampung jumlah pengguna yang semakin meningkat," katanya.

Berita Harian X