Selasa, 23 Februari 2021 | 4:35pm
Foto fail Jabatan Penerangan
Foto fail Jabatan Penerangan

Wakil PH mahu sidang Parlimen diadakan

KUALA LUMPUR : Tiga ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang mewakili pembangkang mahu persidangan Parlimen diadakan dalam masa terdekat walaupun darurat masih berkuat kuasa.

Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyataan bersama hari ini, yang menjelaskan persidangan Parlimen diadakan tertakluk kepada segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Tiga wakil Pakatan Harapan (PH) itu adalah Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu yang juga Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ahli Parlimen Seremban juga Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke dan Ahli Parlimen Kuala Selangor juga Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

"Kami yang menganggotai jawatankuasa bebas khas mengenai darurat berpendirian, kerajaan wajar mengadakan sidang Parlimen segera walaupun darurat masih berkuatkuasa.

"Persidangan Parlimen boleh diadakan dengan tertakluk kepada segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan seperti yang dilaksana sepanjang sidang Parlimen pada tahun lalu," kata mereka dalam kenyataan itu.

Pada 9 Februari lalu, diumumkan pelantikan Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 itu ditubuhkan mengikut Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria.

Keanggotaannya terdiri daripada pakar kesihatan awam, wakil parti politik pembangkang dan kerajaan, tokoh bidang pendidikan, kesihatan, keselamatan, ketenteraman awam, pentadbiran awam dan undang-undang, mufti serta wakil dewan perniagaan.

Wakil PH itu menyatakan jawatankuasa bebas itu yang ditubuhkan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong sudah mengadakan mesyuarat kali pertama pada 18 Februari lalu.

Menurut mereka, persidangan Parlimen adalah sangat penting untuk memastikan segala agenda dan langkah untuk membendung COVID-19 dapat dibahaskan oleh Ahli Parlimen.

Selain itu, kata mereka, persidangan Parlimen bagi memastikan semak dan imbang terhadap segala keputusan yang dibuat oleh pihak ekskutif.

"Keputusan untuk mengembalikan persidangan Parlimen juga akan memberi keyakinan kepada dunia luar dan pelabur asing bahawa Malaysia tetap komited terhadap sistem demokrasi berparlimen dan prinsip kedaulatan undang-undang.

"Justeru itu, kami akan menyampaikan pandangan ini secara konsisten di mesyuarat Jawatankuasa Khas Bebas Darurat dan berharap ia akan dipersetujui oleh ahli jawatankuasa itu sebagai pendirian bersama untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong, " menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Azalina Othman Said melalui sepucuk surat kepada Peguam Negara, Idrus Harun mengatakan keputusan menggantung parlimen menunjukkan bahawa cabang legislatif telah dilumpuhkan.

Selain itu, sejumlah 90 ahli parlimen dari tujuh negara ASEAN turut menggesa Agong dan Perdana Menteri membenarkan parlimen bersidang secepat mungkin.

Berita Harian X