Selasa, 23 Februari 2021 | 3:22pm
Khairy (kiri) dan Dr Adham melakukan simulasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Kementerian Kesihatan, hari ini. - FOTO BERNAMA
Khairy (kiri) dan Dr Adham melakukan simulasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Kementerian Kesihatan, hari ini. - FOTO BERNAMA

Vaksin COVID-19: 55,539 guru dipertimbangkan untuk fasa pertama program imunisasi

PUTRAJAYA: Seramai 55,539 guru yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi, akan diusahakan untuk menerima suntikan vaksin pada fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata pertimbangan memasukkan golongan pendidik dalam fasa pertama program vaksinasi terbesar negara itu dibuat selepas pihaknya menerima senarai daripada Kementerian Pendidikan.

"Kita akan usahakan untuk memasukkan guru ke dalam fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, iaitu sebelum tarikh pembukaan sekolah," katanya.

Dr Adham dan Khairy menunggu giliran di stesen pemerhatian ketika meninjau simulasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto BERNAMA
Dr Adham dan Khairy menunggu giliran di stesen pemerhatian ketika meninjau simulasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto BERNAMA

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan simulasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang turut dihadiri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, di sini, hari ini.

Mengenai simulasi terbabit pula, Khairy berkata, proses pemberian vaksin oleh Kementerian Kesihatan kepada seseorang individu akan mengambil masa antara 15 hingga 30 minit, termasuk tempoh pemantauan terhadap penerima suntikan.

"Ini adalah amalan terbaik dalam usaha memastikan mereka yang menerima vaksin itu selamat," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X