Selasa, 23 Februari 2021 | 1:13pm

Suntikan vaksin ambil masa 15 hingga 30 minit - Dr Adham

PUTRAJAYA: Individu yang akan disuntik dengan vaksin COVID-19 perlu melalui lima stesen di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dengan proses suntikan mengambil masa antara 15 dan 30 minit, termasuk proses pemantauan untuk kesan sampingan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata stesen pertama ialah untuk saringan gejala dan suhu; stesen kedua untuk pendaftaran; stesen ketiga bagi konsultasi dan persetujuan imunisasi; stesen keempat untuk suntikan vaksin COVID-19; serta stesen kelima untuk pemerhatian.

"Dari saringan suhu sehingga suntikan akan ambil masa antara 10 hingga 15 minit. Bagi proses pemerhatian pula selama 15 minit (lagi), namun kita perlu beri ruang secukupnya untuk pemantauan dijalankan," katanya selepas melakukan simulasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Dr Adham (dua dari kiri) dan Khairy (kiri) ketika melakukan simulasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto BERNAMA
Dr Adham (dua dari kiri) dan Khairy (kiri) ketika melakukan simulasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto BERNAMA

Dr Adham (kiri) ketika melakukan simulasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto BERNAMA
Dr Adham (kiri) ketika melakukan simulasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto BERNAMA

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilaksanakan dalam tiga fasa bermula esok (24 Februari) dengan Fasa 1 dari Februari hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.

Fasa 2 pula iaitu dari April hingga Ogos membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya membabitkan 9.4 juta orang, manakala Fasa 3 dari Mei 2021 hingga Februari 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas - warganegara dan bukan warganegara - dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.

Dalam kenyataan media berasingan, Dr Adham berkata, PPV di seluruh negara untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang akan bermula esok, dibahagikan kepada lapan kategori.

Setiap PPV diberikan kategori antara satu hingga lapan, berdasarkan bilangan anggota dan keluasan sesuatu tempat.

Ahad lalu, Malaysia menerima bekalan pertama vaksin Pfizer-BioNTech sebanyak 312,390 dos yang diterbangkan dari kilang Pfizer di Belgium.

Susulan kejayaan itu, Khairy dilaporkan berkata Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dijadualkan sepatutnya berlangsung pada Jumaat ini, diawalkan ke esok.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menjadi penerima pertama vaksin akan mengambil suntikan itu di Klinik Kesihatan Putrajaya, disusuli Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Berbaki sehari sebelum pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Dr Adham berkata, pihaknya menjalankan simulasi bagi menguji persediaan dan proses kerja pemberian vaksin, mengikut tatacara diperuntukkan dalam garis panduan.

Dr Adham menunjukkan picagari khas Low Dead Volume (LDV) untuk kegunaan suntikan vaksin COVID-19 jenis Pfizer BioNTech di Institut Kanser Negara (IKN) semalam. - Foto BERNAMA
Dr Adham menunjukkan picagari khas Low Dead Volume (LDV) untuk kegunaan suntikan vaksin COVID-19 jenis Pfizer BioNTech di Institut Kanser Negara (IKN) semalam. - Foto BERNAMA

Beliau berkata, simulasi itu sangat penting bagi memastikan kelancaran proses pemberian vaksin COVID-19 di lapangan, terutama apabila ia dilakukan pada skala besar menjelang fasa kedua dan ketiga kelak.

"Simulasi dilaksanakan hari ini menggunakan contoh PPV Kategori Satu terdiri daripada 10 petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan 10 petugas bukan KKM.

"Dengan kejayaan simulasi itu, KKM bersedia untuk melaksanakan pemberian suntikan vaksin COVID-19 yang akan dilancarkan esok.

"KKM berharap masyarakat di seluruh negara yang layak mengambil vaksin, sama-sama menjalankan tanggungjawab memastikan sasaran liputan antara 70 hingga 80 peratus dapat dicapai bagi mewujudkan imuniti kelompok.

"Apabila sebahagian besar masyarakat diberi vaksinasi, penularan jangkitan COVID-19 dalam komuniti dapat dicegah dan seterusnya mengekang pandemik itu.

"Kementerian amat berharap program pemberian vaksin COVID-19 mendapat sokongan padu daripada seluruh rakyat Malaysia. Pengambilan vaksin ialah langkah pencegahan untuk kita melindungi diri dan orang di sekeliling," katanya.

Menerusi pelbagai langkah pencegahan dan kawalan kesihatan awam yang terus dipertingkatkan, Dr Adham berkeyakinan ia bakal menamatkan pandemik COVID-19.

Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Indera Mulia, Ipoh. - Foto BERNAMA
Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Indera Mulia, Ipoh. - Foto BERNAMA

Berita Harian X