Selasa, 23 Februari 2021 | 12:01pm

Polis tumpas sindiket edar heroin tulen, rampas dadah RM7.8 juta

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menumpaskan sindiket pengedaran heroin tulen disyaki diketuai seorang wanita tempatan, termasuk berjaya merampas dadah bernilai RM7.8 juta.

Wanita berusia 38 tahun itu boleh bertutur dalam bahasa negara jiran, sekali gus dikatakan menjadi kelebihannya dalam mengetuai sindiket terbabit yang dipercayai aktif sejak enam bulan lalu.

Timbalan Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata dalam serbuan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang, Jumaat lalu, polis memberkas wanita itu dan lima lelaki berusia antara 22 hingga 46 tahun.

Beliau berkata, salah seorang suspek ditahan itu adalah suami kepada wanita terbabit yang berasal dari pantai timur Semenanjung.

"Hasil serbuan itu, kita merampas 240 slab atau ketulan heroin tulen dengan anggaran berat 87.86 kilogram (kg) bernilai RM7.8 juta, dan dua pucuk pistol jenis 'Glock' serta 25 butir peluru hidup.

"Jumlah dadah itu apabila diproses dan dipasarkan, boleh digunakan seramai 3,265,865 penagih dadah.

"Polis turut menyita aset sindiket berkenaan membabitkan lima unit kenderaan jenis BMW, Nissan Murano, Toyota Harrier, Proton Perdana dan Perodua Myvi, serta wang tunai RM75,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Berdasarkan siasatan awal, Kamarul Zaman berkata, sindiket itu dipercayai aktif sejak Ogos tahun lalu dan memperoleh bekalan dadah dari Myanmar melalui Thailand, sebelum dipasarkan dalam negara ini.

"Mereka kemudian akan membekalkan dadah kepada pengedar dalam negara yang memprosesnya menjadi heroin nombor tiga sebelum dijual di sekitar Lembah Klang," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga percaya sindiket terbabit menggunakan kenderaan daripada syarikat yang diberi kebenaran (essential) sebagai pengangkutan, untuk membawa dadah dari Pantai Timur ke ibu negara ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam pada itu, katanya, hasil siasatan mendapati empat daripada enam suspek terbabit positif dadah jenis syabu ketika ditahan.

Selain itu, beliau berkata, tiga daripada mereka juga memiliki rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Semua suspek direman selama lima hari hingga esok bagi membantu siasatan, dan pihak polis bercadang memohon perintah reman ke atas mereka dilanjutkan.

Kamarul Zaman (dua dari kanan) menunjukkan hasil rampasan dadah bernilai RM7.8 juta pada sidang media di IPK Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/FATHIL ASRI
Kamarul Zaman (dua dari kanan) menunjukkan hasil rampasan dadah bernilai RM7.8 juta pada sidang media di IPK Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/FATHIL ASRI
Berita Harian X