Jumaat, 19 Februari 2021 | 9:57pm
Wisma PERKESO Pulau Pinang, Seberang Jaya. - Foto hiasan NSTP
Wisma PERKESO Pulau Pinang, Seberang Jaya. - Foto hiasan NSTP

Hanya 2.7 peratus daripada 2.3 juta pekerja sendiri carum PERKESO

KUALA LUMPUR: Hanya 2.7 peratus daripada 2.3 juta yang bekerja sendiri atau di sektor gig mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri, PERKESO.

Ketua Bahagian Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri PERKESO, Azhar Md Nadzri, berkata angka itu dilihat begitu rendah kerana masih ramai tidak memahami kepentingan mencarum selain kurangnya publisiti mengenai hal ini.

Caruman yang digalakkan ini bukanlah bertujuan menambah dana kerajaan dan sebagainya, tetapi ia untuk perlindungan kepada mereka yang mencarum jika ditimpa musibah dan kematian.

"Boleh dikatakan seperti sediakan payung sebelum hujan kerana faedah yang diterima boleh dianggap terbaik dengan hanya serendah 43 sen sehari saja, anda boleh menerima lapan faedah.

"Antara faedah disediakan PERKESO ialah faedah perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, orang tanggungan, pemulihan jasmani dan vokasional serta perubatan," katanya dalam program Bicara SPE Dilema Pekerja Gig: Antara Pendapatan dan Keselamatan secara langsung di Facebook Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.

Pengarah PERKESO Negeri Sembilan, Fuad Alias (tengah) beramah mesra dan menerangkan SKSPS di Dataran Senawang. - Foto fail NSTP
Pengarah PERKESO Negeri Sembilan, Fuad Alias (tengah) beramah mesra dan menerangkan SKSPS di Dataran Senawang. - Foto fail NSTP

Moderator program itu ialah Timbalan Dekan, Penyelidikan Penjanaan Jaringan Industri Korporat dan Komuniti, Prof Madya Dr Normaz Wana Ismail.

Ahli panel lain ialah Pakar Ekonomi, Prof Madya Dr Rusmawati Said dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, UPM.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, pencarum boleh memilih daripada empat pelan caruman disediakan iaitu bermula serendah RM157.20 hingga RM592.80 setahun yang mana ia boleh dibayar secara bulanan.

"Ada juga keraguan daripada pencarum mengenai jumlah tuntutan akibat kemalangan. Di sini PERKESO menerangkan bahawa tiada had untuk mereka membuat sebarang tuntutan akibat kemalangan dengan syarat menyertakan sekali dokumen berkaitan.

"Sebelum ini, di awal pengenalan akta, ia dikuatkuasakan kepada sektor pengangkutan penumpang, tetapi kini ia diperluaskan 19 sektor lain yang layak untuk dilindungi," katanya sambil menambah, kini terpulang kepada mereka untuk mencarum kerana ini adalah berkenaan kesedaran untuk masa hadapan.

"Jika kita wajibkan sekarang, pelbagai isu yang mungkin timbul, jadi lebih baik ia dicarum dengan kesedaran diri sendiri dahulu," katanya.

Pekerja gig di Kuala Terengganu mendaftar Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO secara pandu lalu. - Foto fail BERNAMA
Pekerja gig di Kuala Terengganu mendaftar Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO secara pandu lalu. - Foto fail BERNAMA

Sementara itu, Rusmawati berkata, sektor pekerjaan terbahagi kepada dua iaitu formal dan tidak formal yang mana bagi yang tidak berdaftar atau ringkasnya tidak mempunyai lesen, ia diklasifikasi sebagai tidak formal.

Kesannya mereka menerima kurang perlindungan keselamatan atau mungkin tiada langsung.

"Jadi dengan wujudnya Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri, inilah yang kita mahukan iaitu perlindungan hak dalam pekerjaan kepada mereka.

"Ini kerana menerusi data pada tahun lalu, pekerja tidak formal terlalu banyak di negara ini iaitu kira-kira 1.36 juta atau 10.6 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerjaan iaitu 14.98 di negara ini," katanya.

Jelasnya, Malaysia dan negara lain tidak jauh bezanya daripada sudut perlindungan keselamatan sosial kepada sektor gig ini. Namun ia boleh diperbaiki lagi pada masa hadapan. Contohnya di Jerman, majikan tidak boleh mengambil pekerja melebihi 18 bulan dan perlu rehatkan mereka selama tiga bulan sebelum dilantik semula.

Mohd Mizan Nazran Mohd Razlan, 21, (dua dari kiri) yang lumpuh separuh badan akibat terjatuh bangunan melakukan proses pemulihan menggunakan 'Hybrid Assistive Limb (HAL) Robot Suits' dari Cyberdyne pada Majlis Pelancaran SOCSO Neuro-Robotics Rehabilitation & Cybernic Centre di Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak, Hang Tuah Jaya. - Foto hiasan NSTP
Mohd Mizan Nazran Mohd Razlan, 21, (dua dari kiri) yang lumpuh separuh badan akibat terjatuh bangunan melakukan proses pemulihan menggunakan 'Hybrid Assistive Limb (HAL) Robot Suits' dari Cyberdyne pada Majlis Pelancaran SOCSO Neuro-Robotics Rehabilitation & Cybernic Centre di Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak, Hang Tuah Jaya. - Foto hiasan NSTP

Berita Harian X