Jumaat, 19 Februari 2021 | 3:51pm

MYDIGITAL: 4 sektor diunjur raih manfaat ekonomi digital

KUALA LUMPUR: Empat sektor utama negara meliputi pertanian, pembinaan, pengeluaran dan perkhidmatan dijangka meraih manfaat daripada rangkaian usaha pembangunan ekonomi digital.

Malah, kesan limpah susulan corak pembangunan itu akan diperluas merangkumi 10 subsektor perkhidmatan iaitu pendidikan, penjagaan kesihatan, pelancongan dan perkhidmatan profesional.

Selain itu, seni, hiburan dan rekreasi, pengangkutan dan logistik, perdagangan borong dan runcit, kewangan dan insurans, makanan dan minuman serta teknologi maklumat dan komunikasi.

Selaras tekad itu, sebanyak 28 inisiatif di peringkat sektor dirangka membabitkan tiga tema, iaitu penerimagunaan digital, perkongsian dan analitis data serta kemahiran digital.

Mengikut Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, rangkaian inisiatif sedemikian digagaskan untuk memanfaatkan peluang berdasarkan sektor yang diwujudkan daripada pola di peringkat serantau dan global.

Susulan itu, beberapa sasaran yang mampu menjana pertumbuhan pesat sektor berkaitan dan mencetuskan kesan limpah kepada golongan berkaitan, digariskan bagi setiap inisiatif.

Sektor pertanian umpamanya, kadar penerimagunaan digital dalam perniagaan dijangka meningkat, selain menyumbang kepada penghasilan sekurang-kurangnya 5,000 syarikat peringkat permulaan menjelang 2025.

Menerusi langkah mewujudkan lebih banyak platform digital tempatan bagi membolehkan capaian kepada pasaran digital, ia diunjurkan mampu menyumbang kepada 30 peratus peningkatan produktiviti buruh merentas semua sektor.

Berteraskan mekanisme yang ditambah baik untuk mempercepatkan pembangunan bandar pintar, inisiatif bagi sektor pembinaan ini dijangka berupaya memacu kemunculan lima bandar pintar, menjelang 2025.

Kerajaan juga menyasarkan perkembangan eksport kandungan digital berkadar lapan peratus setahun, dalam tempoh 2021 hingga 2025, susulan usaha memupuk dan meningkatkan kemahiran bakat digital dalam industri kreatif.

Kemajuan bagi sektor seni, hiburan dan rekreasi antara lain merangkumi penciptaan 200 harta intelek mengenai kandungan digital berupaya dicapai, menjelang 2025.

Sektor pendidikan yang dinobat sebagai pemacu utama ke arah mencapai status negara maju pula menggariskan beberapa inisiatif penting, seperti langkah menggalakkan penerbit buku teks dan aktiviti untuk beralih kepada pendigitalan, dengan menghasilkan e-buku serta format interaktif.

Berteraskan usaha sedemikian, semua pelajar di negara ini dijangka mempunyai capaian kepada kandungan pembelajaran dalam talian dan melonjak kadar penerimagunaan digital bagi urusan perniagaan.

Berita Harian X