KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini bagi mengikuti keputusan kes membabitkan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Beliau tiba pada jam 9.22 pagi, secara berasingan, iaitu kira-kira tujuh minit selepas ketibaan Rosmah.
Sebelum ini, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengesahkan anak guamnya mahu menemani Rosmah ketika memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah, yang mendengar perbicaraan kes bekas perdana menteri itu berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Muhammad Shafee memberitahu bahawa anak guamnya mahu mendengar keputusan mahkamah kes Rosmah, sebelum menghadiri perbicaraannya sendiri yang dijadualkan bermula 9.30 pagi.