Isnin, 15 Februari 2021 | 12:01pm
Pangkalan haram di Kampung Paun dan Kampung Lubok Stol (gambar kanan) Rantau Panjang antara lokasi utama penyeludupan syabu. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Pangkalan haram di Kampung Paun dan Kampung Lubok Stol (gambar kanan) Rantau Panjang antara lokasi utama penyeludupan syabu. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Kelantan pintu masuk syabu dari Laos

KOTA BHARU: Syabu yang banyak dirampas ketika diseludup masuk merentasi sempadan negara di negeri ini, dikesan dibawa sindiket dari Laos dengan transit di Thailand.

Selain cuba diagih kepada pengedar di negeri ini, bekalan yang dibawa masuk juga dikesan cuba diseludup ke seluruh negara, serta dihantar ke negara jiran seperti Singapura dan Indonesia.

Menggunakan taktik sama seperti penyeludupan bahan larangan lain, pangkalan haram yang masih wujud di sepanjang Sungai Golok, sama ada di sebelah Thailand dan Kelantan, adalah laluan utama sindiket yang mengintai peluang dan masa sesuai untuk meneruskan jenayah mereka.

Berbanding negeri lain yang sempadan negara dipenuhi hutan dan kawasan tanpa penempatan, sempadan Kelantan dengan Thailand lebih terbuka kerana hanya dipisahkan aliran Sungai Golok yang sempit dan cetek di sesetengah lokasi.

Kawasan tebing yang tidak berpagar, manakala sungai boleh direntasi dengan bot dalam tempoh tidak sampai lima minit, memudahkan penyeludup berulang alik mengangkut barangan seludup.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan, Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar, berkata siasatan pihaknya mendapati Thailand kini hanya menjadi negara transit syabu dari Laos sementara cuba diseludup ke Malaysia.

Beliau berkata, hanya pil kuda diseludup dari Thailand dan permintaan terhadap syabu di Kelantan boleh dikatakan hampir sama dengan pil kuda, berbanding sebelum ini menjurus kepada pil kuda atau pil yaba.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan, Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan, Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar.

"Siasatan kita mendapati bekalan syabu dijual pada harga RM40,000 sekilogram atau RM40 bagi satu gram.

"Sebaik diseludup ke Kelantan, selain diedar kepada pengedar di negeri ini, ia turut diseludup ke negeri di pantai barat kerana permintaan agak tinggi.

"Pada masa sama, bekalan juga dipercayai akan diseludup keluar ke Indonesia dan Singapura," katanya kepada BH.

Mengulas lanjut katanya, permintaan terhadap syabu semakin meningkat ,terutama di Kelantan berikutan harga semakin murah.

"Jika syabu dijual pada harga RM40 bagi satu gram, pil kuda pula dijual dengan harga RM10 satu biji.

"Kandungan kedua-duanya sama, cuma berbeza kaedah pembuatan dan penjualan," katanya.

Justeru, beliau berkata, pihaknya akan meningkatkan kawalan di sempadan antara Kelantan-Thailand dengan kerjasama pasukan keselamatan lain, termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Kita akan berusaha sebaik mungkin dalam usaha mengekang penyeludupan ke negeri ini, termasuk dadah," katanya.

Isnin lalu, ATM merampas 402 kilogram syabu dianggarkan bernilai RM16.08 juta sejurus barang larangan itu diseludup merentasi Sungai Golok, di sini.

Rampasan pada jam 10 pagi itu dilakukan anggota Batalion Ke-4 Rejimen Sempadan di Kampung Lubok Stol, Rantau Panjang selepas terserempak dua lelaki sedang memunggah bekalan syabu berkenaan.

Isnin lalu, ATM merampas 402 kilogram syabu dianggarkan bernilai RM16.08 juta sejurus barang larangan itu diseludup merentasi Sungai Golok. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Isnin lalu, ATM merampas 402 kilogram syabu dianggarkan bernilai RM16.08 juta sejurus barang larangan itu diseludup merentasi Sungai Golok. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Menyedari kehadiran anggota tentera, penyeludup terbabit segera melarikan diri ke Thailand, meninggalkan dadah yang sudah diangkut ke situ.

Syabu yang ditemui dalam 10 guni itu, diisi dalam ratusan bungkusan teh jenama 'Guanyinwang' dipercayai sebagai helah sindiket mengaburi pihak berkuasa sepanjang perjalanan dari Laos ke sempadan Malaysia-Thailand.

Sementara itu, Panglima 8 Briged, Brig Jeneral Zamsari Abu Hassan, berkata paras air Sungai Golok yang surut dan cetek ketika ini menyebabkan penyeludupan kini bukan setakat menggunakan bot, malah di lokasi tertentu dibuat secara berjalan kaki mengharung air sahaja.

Beliau melahirkan kebimbangan aktiviti penyeludupan di sempadan negeri ini, bukan setakat dilakukan secara konvensional, sebaliknya mungkin beralih kepada teknologi moden seperti dron, pada masa depan.

Beliau berkata, biarpun penggunaan teknologi itu belum dikesan setakat ini, pihaknya sentiasa bersedia menghadapi sebarang taktik terbaru yang mungkin digunakan penyeludup di sempadan.

Berita Harian X