Ahad, 14 Februari 2021 | 12:52pm
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. - NSTP/Asyraf Hamzah
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. - NSTP/Asyraf Hamzah

Protokol kesihatan ketat iringi lawatan ke luar negara

Diplomasi secara maya amat mencabar ketika dunia bergelut dengan COVID-19. Pertemuan bersemuka dengan prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan ketat tetap diperlukan untuk memperkukuh usaha sama ketika era pandemik.

Ikuti wawancara BH dengan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengenai hubungan dua hala ini.

Soalan (S): Tanggal 11 Mac nanti genap setahun Datuk Seri menerajui Wisma Putra. Selepas hampir 365 hari, boleh simpulkan perjalanan Datuk Seri sebagai Menteri Luar?

Jawapan (J): Mengemudi Wisma Putra ketika pandemik COVID-19 bukan sahaja pengalaman baharu unik, bahkan amat menguji.

Amanah diletakkan bukan sahaja memastikan hubungan diplomasi Malaysia dengan negara rakan terus akrab, malah memastikan kebajikan dan keselamatan rakyat kita di seluruh dunia terbela terutama di negara terjejas teruk.

Pada hari pertama sahaja, saya berbincang dengan beberapa rakan sejawat menerusi telefon dan bermesyuarat hingga lewat malam dengan kepemimpinan tertinggi Wisma Putra. Pertimbangan utama, hanyalah nyawa dan keselamatan rakyat di luar negara serta bagaimana Wisma Putra boleh berperanan dengan berkesan.

Selang beberapa hari, saya arahkan penubuhan Taskforce COVID-19 Wisma Putra bagi memantau secara rapi 24/7 situasi rakyat kita di seluruh dunia.

Alhamdulillah, berkat usaha gigih, kerjasama dan dedikasi semua pihak, setakat hari ini Wisma Putra memudah cara urusan pulang lebih 25,000 rakyat Malaysia terkandas di luar negara.

Antara misi sukar juga, memulihkan semula hubungan Malaysia dengan negara besar seperti India, China dan Asia Barat yang terjejas ketika di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.

Ini termasuklah penganjuran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 yang asasnya bertujuan mengukuhkan hubungan sesama negara Islam, namun menyaksikan ketiadaan Arab Saudi dan kebanyakan negara Islam lain.

Ia seolah-olah menunjukkan sesuatu tidak kena dalam hubungan Malaysia-Arab Saudi ketika itu yang mungkin turut memberi kesan terhadap kuota haji Malaysia.

Tindakan kerajaan terdahulu membuat kenyataan bersifat diskriminasi juga menggugat hubungan baik Malaysia-India. Antara aspek menerima kesannya ialah urus niaga eksport minyak sawit Malaysia ke negara berkenaan.

Perkara inilah perlu saya perbetulkan dan baik pulih dengan harapan hubungan Malaysia dengan negara berkenaan kembali akrab seperti sebelumnya. Saya bersyukur dalam setahun ini, hubungan dua hala Malaysia dengan China, India dan Asia Barat khususnya Arab Saudi kembali akrab.

S: Dalam konteks COVID-19, boleh jelaskan usaha Kementerian Luar babitkan kepentingan rakyat kita di luar negara dan hal ehwal berkaitan urusan antarabangsa?

J: Dari sudut kepentingan rakyat di luar negara, terdapat tiga peranan utama Wisma Putra. Pertama, menjadi medan rujukan untuk mereka terutama memaklumkan situasi semasa serta mendapatkan maklumat terkini mengenai usaha Wisma Putra berkaitan COVID-19.

Kedua, memudahcara urusan rakyat terkandas di luar negara dan ketiga mendapatkan bantuan pakar serta peralatan perubatan.

Dari sudut hal ehwal antarabangsa, Wisma Putra bertindak memudah cara urusan rakyat negara luar terkandas di Malaysia untuk pulang ke negara asal termasuk bekerjasama rapat dengan kerajaan Arab Saudi, India dan Brunei.

Dengan kerajaan India, disebabkan hubungan akrab saya dengan rakan sejawat, Dr S Jaishankar dan penghormatan mereka terhadap negara kita serta hubungan kembali pulih, Malaysia antara negara diberi kebenaran mendarat khas untuk bawa pulang rakyat dengan jumlah tertinggi.

Kerajaan Arab Saudi pula bukan sahaja memudahkan urusan pulang rakyat kita yang terkandas, malah menanggung kos penerbangan. Arab Saudi juga menjadi negara penyumbang peralatan perubatan terbesar kepada Malaysia, iaitu lebih 9 juta unit termasuk pelitup muka, alat bantuan pernafasan dan peralatan perlindungan diri (PPE).

Kerajaan China pula antara terawal menyumbang jutaan unit peralatan perubatan khususnya pelitup mula dan PPE selepas hanya satu surat saya kepada Menteri Luar China, Wang Yi. Malah kerana hormat dan akrab, kerajaan China turut hantar pakar perubatan ke Malaysia.

S: Kementerian Luar turut terbabit dalam urusan membawa pulang rakyat kita yang terkandas di luar negara akibat COVID-19. Sejauh mana misi ini ditangani dan apa kekangan dihadapi?

J: Syukur misi ini dapat dikendalikan dengan baik. Bagaimanapun, antara kekangan dihadapi Wisma Putra adalah berunding dengan negara menutup sepenuhnya sempadan negara.

Ini memerlukan rundingan dua hala antara Malaysia dengan negara terbabit seperti di India, terdapat ribuan rakyat kita terkandas dan perlu dibawa pulang segera. Namun, India ketika itu menutup sepenuhnya pintu sempadan.

Kita tiada pilihan selain melakukan rundingan berterusan dengan kerajaan India yang saya sendiri beberapa kali berbincang menerusi telefon dengan rakan sejawat. Kaedah rundingan juga digunakan untuk menyelesaikan isu jemaah tabligh negara kita yang ditahan di India kerana didakwa menyalahgunakan visa.

Alhamdulillah, hasil rundingan berterusan di samping hubungan Malaysia dengan India kembali pulih sejak saya menerajui Wisma Putra, isu jemaah tabligh ini selesai dan mereka semua pulang ke tanah air.

S: Sebagai Menteri Luar, Datuk Seri pernah sekali menerima kunjungan Menteri Luar China, Wang Yi sekitar Ogos tahun lalu. Mengapa lawatan ini diadakan sekiranya medium maya boleh dimanfaatkan?

J: Perbincangan secara maya alternatif baik, namun manfaatnya masih tidak sama seperti perbincangan bersemuka.

Saya masih ingat ketika itu apabila Diplomat Tertinggi China, Yang Jiechi sudah mempunyai jadual lawatan dalam siri jelajahnya ke Korea Selatan dan Singapura. Saya berasakan Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam hal ini.

Sebab itulah saya mengambil inisiatif meyakinkan kerajaan dan berbincang dengan agensi berkaitan untuk membenarkan Yi mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dengan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan ketat.

Alhamdulillah, terbukti lawatan ini membawa manfaat besar kepada kedua-dua negara khususnya Malaysia. Ini termasuk China bersetuju membeli 1.7 juta tan minyak sawit Malaysia hingga 2023 yang akan membawa kebaikan kepada lebih 600,000 pekebun kecil sawit.

China juga bersetuju menjadikan Malaysia sebagai negara prioriti penerima vaksin COVID-19 dibangunkan mereka.

Saya juga bersyukur kerana penetapan SOP ketat, lawatan Yi tidak memberi impak negatif terhadap usaha kerajaan menangani penularan COVID-19.

Sebenarnya, selain Yi, ramai lagi rakan sejawat mahu hadir bertemu saya secara bersemuka pada tahun lalu, tetapi kerajaan tidak boleh membenarkan semua datang. Kita perlu memilih berdasarkan kepentingan dan hasil lawatan terbabit.

Tambahan pula, perbincangan hal berhubung kait usaha pemulihan ekonomi, memperkukuh sistem kesihatan dan membela kebajikan rakyat ini sebahagiannya memerlukan penelitian teliti sebelum kesepakatan dimeterai.

S: Dalam tempoh Mac hingga Disember, hanya sekali sahaja Datuk Seri menerima kunjungan rakan sejawat malah langsung tidak pernah ke luar negara. Mengapa tahun ini sudah dua kali delegasi Malaysia mengadakan lawatan ke luar negara meskipun baru awal tahun sahaja?

J: Tahun lalu ialah fasa awal penularan COVID-19 dengan semua orang masih mencari-mencari apakah penyelesaian terbaik.

Oleh itu, kebanyakan negara menutup pintu sempadan negara hingga benar-benar yakin membukanya semula apabila situasi mengizinkan. Situasi ini memberi kesan kepada usaha diplomasi secara fizikal termasuk membataskan pertemuan empat mata.

Namun, setelah hampir setahun pandemik melanda dunia, kebanyakan negara sudah menetapkan SOP pencegahan tersusun, malah vaksin juga ditemui.

Situasi ini menyaksikan ramai pemimpin tertinggi dan menteri luar negara lain mula terbang demi memperkukuh usaha sama khususnya era pascapandemik. Misalnya, Perdana Menteri Jepun melawat Indonesia dan Vietnam; Raja Belanda (Indonesia) serta Presiden Turki (Qatar).

Ketika kebanyakan pemimpin dunia mula terbang, Malaysia tidak boleh ketinggalan. Menjaga hubungan dengan negara rakan penting untuk pelan vaksinasi Malaysia dan mendapatkan perkongsian maklumat hasil penggunaan vaksin serupa dari negara memberi vaksin kepada rakyatnya.

Usaha pemulihan ekonomi juga sangat penting. Ekonomi bukan bersifat nasionalistik. Kita berada di dunia tanpa sempadan yang kekuatan ekonomi amat bergantung satu sama lain.

Sebenarnya di ASEAN, hanya saya dan Perdana Menteri sahaja belum bertemu secara bersemuka dengan rakan sejawat di rantau ini. Atas dasar itu, pertemuan Perdana Menteri dengan Presiden Joko Widodo minggu lalu sangat penting.

Saya juga ingin kongsikan, selepas lawatan itu, Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi terus ke Amman, Jordan dan Palestin demi meningkatkan usaha sama dengan kedua-dua negara berkenaan.

Pertemuan Hishammuddin bersama Sheikh Abdullah mengikut SOP yang ketat di UAE 9 Februari lalu. - Foto ihsan Kementerian Luar Negeri
Pertemuan Hishammuddin bersama Sheikh Abdullah mengikut SOP yang ketat di UAE 9 Februari lalu. - Foto ihsan Kementerian Luar Negeri

S: Boleh Datuk Seri kongsi apa signifikannya dilakukan dua lawatan ke luar negara ini, ketika penularan pandemik masih meningkat?

J: Secara ringkasnya, menerusi lawatan ke Indonesia, hubungan dua hala Malaysia-Indonesia ditingkatkan ke peringkat Kerjasama Strategik Komprehensif. Malaysia dan Indonesia bersetuju meningkatkan peluang ekonomi dan pelaburan termasuk berkaitan usaha memindahkan ibu kota Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan.

Ia juga mengukuhkan usaha sama berkaitan alam sekitar khususnya isu jerebu rentas sempadan dan berkongsi maklumat berkaitan vaksin COVID-19.

Menerusi lawatan ke Emeriah Arab Bersatu (UAE), kedua-dua negara bersetuju meningkatkan usaha sama dalam empat bidang utama pada era pascapandemik, iaitu perdagangan dan pelaburan, pertanian dan keselamatan makanan, kesihatan, dan pertukaran latihan untuk pegawai serta diplomat.

Kedua-dua negara ini dapat membantu Malaysia menjamin kepentingan negara dalam tempoh amat mencabar. Sebab itu lawatan ini signifikan dan penting sebagai permulaan tahun 2021.

Malah, Indonesia dan UAE memandang serius lawatan ini. Persiapan mereka cukup rapi. Ramai dapat saksikan secara dalam talian bagaimana besar penghormatan dan mesra sambutan kerajaan Indonesia terhadap Perdana Menteri serta delegasi Malaysia.

Ini membuktikan mereka amat menghormati kita dan pada masa sama mengiktiraf usaha negara dalam menangani impak penularan COVID-19 ini.

S: Menteri Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan ada menyebut lawatan rasmi menggunakan kaedah gelembung perjalanan atau travel bubble. Boleh Datuk Seri jelaskan lebih lanjut.

J: Gelembung perjalanan bermaksud lawatan dengan SOP amat ketat dan mereka menyertai lawatan hanya dibolehkan berada dalam lingkungan dibenarkan, iaitu tempat rasmi lawatan sahaja.

Sebagai contoh, lawatan rasmi ke Indonesia, Perdana Menteri dan delegasi Malaysia menaiki pesawat khas bagi mengelakkan kontak rapat orang awam yang tiada kena-mengena dengan lawatan. Jumlah delegasi Malaysia sangat kecil dengan saya seorang sahaja menteri iringi Perdana Menteri.

Dalam tempoh 24 jam sebelum menaiki pesawat khas, semua mesti disahkan negatif COVID-19 dan tidak bergejala.

Pesawat ini mendarat di kawasan khas di Indonesia. Kemudian, semua diwajibkan menjalani ujian COVID-19. Hanya mereka yang negatif akan terus dibawa ke bilik penginapan. Mereka tidak boleh keluar ke mana-mana kecuali ke tempat acara rasmi lawatan mengikut tentatif ditetapkan.

Sepanjang lawatan, tiada sentuhan dibenarkan sama ada berjabat tangan apatah lagi berpelukan. Semua terbabit dengan acara rasmi juga wajib memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal setiap masa.

Ketika Jamuan Makan Rasmi Negara dihoskan Presiden Indonesia, tiada pelayan disediakan. Setiap orang perlu ambil makanan sendiri diletakkan dalam bekas pemanas makanan disediakan untuk setiap individu. Setiap orang juga dipisahkan dengan penghadang kaca.

Selesai acara rasmi terakhir lawatan, Perdana Menteri dan delegasi terus dibawa ke lapangan terbang untuk pulang ke tanah air.

Sampai di Malaysia, semua sekali lagi perlu menjalani ujian COVID-19 dan seterusnya diwajibkan menjalani kuarantin mengikut SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

S: Selesai lawatan rasmi di Indonesia, Datuk Seri terus terbang ke UAE untuk bertemu rakan sejawat. Adakah ia juga mematuhi SOP COVID-19 ketat?

J: SOP lawatan saya ke UAE sama seperti Indonesia. Saya perlu menaiki pesawat khas dan tidak dibenarkan keluar dari bilik penginapan selain ke tempat acara rasmi lawatan mengikut tentatif.

Pertemuan saya dengan Menteri Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa UAE, Sheikh Abdullah Zayed juga diadakan di tempat terbuka seperti pertemuan Perdana Menteri dengan Presiden Indonesia.

Malah, ketika di UAE, saya diwajibkan menjalani ujian COVID-19 sebanyak tiga hingga empat kali sehari.

Kepulangan ke Malaysia juga menaiki pesawat khas. Setibanya di tanah air, saya sekali lagi menjalani ujian COVID-19 dan menjalani kuarantin wajib mengikut SOP.

S: Pengumuman menteri pulang dari lawatan rasmi hanya perlu menjalani kuarantin wajib selama tiga hari menimbulkan perasaan kurang senang sebahagian rakyat dan ada menganggapnya dwistandard. Apa pandangan Datuk Seri?

J: Pihak yang boleh menjawab soalan ini secara terperinci ialah KKM dan Menteri Kesihatan sendiri.

Mengikut kefahaman saya, kuarantin wajib tiga hari itu, bukan diberi secara automatik kepada semua. Ia bergantung kepada SOP lawatan itu sendiri yang bukan sahaja ditetapkan KKM tetapi pihak berkuasa kesihatan di negara dilawati.

Saya sendiri diarahkan KKM menjalani kuarantin wajib tujuh hari selepas pulang dari UAE, bukannya tiga hari. Sebagai rakyat, saya akan patuh sepenuhnya arahan ini.

Saya sendiri pernah menjalani kuarantin 14 hari dan tahu bagaimana ketatnya prosedur perlu dipatuhi. Ini termasuk ambil sendiri makanan ditinggalkan di luar bilik, semua tingkap ditutup, tidak boleh berinteraksi secara fizikal dengan orang lain dan basuh sendiri segala kelengkapan makanan selepas digunakan.

Namun dalam mematuhi setiap prosedur ketat ini, saya tetap boleh menjalankan tugas sebagai menteri termasuk menghadiri secara virtual mesyuarat ASEAN selama empat hari berturut-turut dan berkomunikasi dengan pegawai di Wisma Putra.

Perbincangan perhalusi pelbagai isu diplomatik

S: Perbincangan antara Perdana Menteri dengan Presiden Indonesia menyentuh usaha melaksanakan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL), sekali gus menimbulkan kebimbangan ramai bahawa akan meningkatkan kes COVID-19. Boleh Datuk Seri jelaskan?

J: Pelaksanaan RGL antara Malaysia-Indonesia masih pada peringkat perbincangan termasuk penetapan SOP. Belum ada sebarang keputusan muktamad bila akan dilaksanakan.

Yang akan menentukan bila dan bagaimana dilaksanakan ialah pihak berkuasa kesihatan serta keselamatan di kedua-dua negara. Walaupun ia dilaksanakan kelak, RGL ini hanya untuk tujuan rasmi dan perniagaan sahaja.

Penting perbincangan awal dilaksanakan khususnya dari sudut SOP agar apabila ia sudah sesuai untuk dilaksanakan, pihak berkepentingan di kedua-dua negara khususnya agensi berkaitan sudah bersedia.

S: Malaysia dan Indonesia ialah dua negara terbesar pengeluar sawit dunia. Apa komen Datuk Seri bagaimana kedua-dua negara dapat bekerjasama rangka strategi dan advokasi menangani persepsi negatif terhadap minyak sawit, sekali gus mengembalikan keyakinan dunia khususnya di Kesatuan Eropah (EU)?

J: Sebagai antara negara pengeluar terbesar minyak sawit dunia, Malaysia sentiasa berusaha mengekalkan pasaran sedia ada. Pada masa sama berusaha mencari pasaran baharu.

Dalam konteks ini, Wisma Putra turut memainkan peranan besar dengan kementerian ini sentiasa berunding dengan negara rakan menerusi pendekatan diplomasi untuk meyakinkan mereka agar membeli produk minyak sawit negara kita.

Sebab itu, apabila EU tetap enggan mengiktiraf produk minyak sawit negara kita dengan bermacam-macam alasan termasuk mendakwa minyak sawit negara kita tidak mampan, saya sebagai Menteri Luar mengambil tanggungjawab ini untuk berbincang secara bersemuka pada November lalu dengan pihak EU seterusnya meminta mereka menghentikan tindakan mendiskriminasi ini.

Disebabkan itu, lawatan ke Indonesia minggu lalu cukup penting. Indonesia bukan sahaja negara sahabat serumpun, bahkan pengeluar terbesar minyak sawit di dunia. Malah, November lalu kedua-dua negara bersetuju mewujudkan jawatankuasa kerja demi menangani isu diskriminasi minyak oleh EU.

Kesefahaman pada peringkat serantau khususnya dengan Indonesia ini cukup penting untuk kita berunding dengan blok lebih besar seperti EU.

S: Dua negara sudah menjadi destinasi lawatan rasmi kerajaan tahun ini. Apakah ini bermakna selepas ini Perdana Menteri mahupun Datuk Seri akan lebih kerap ke luar negara?

J: Buat masa ini, Perdana Menteri atau saya hanya akan ke luar negara apabila mendapat jemputan. Yang terdekat, saya menerima jemputan Menteri Luar Arab Saudi dan saya mungkin akan ke sana.

Antara tujuan pertemuan itu adalah untuk memulakan rundingan mengenai kuota haji dan umrah untuk Malaysia. Ini kerana sekiranya rundingan secara fizikal tidak diadakan, keputusan konkrit sukar dicapai.

Maka sebab itu, Perdana Menteri mesti berjumpa secara bersemuka dengan keluarga Diraja Arab Saudi untuk mencapai persefahaman lebih mendalam kerana keputusan kuota haji ini ialah prerogatif Penjaga Dua Masjid Suci.

Amat penting untuk negara kita membuktikan kesungguhan mendapatkan kuota haji dan umrah daripada pihak yang bukan sahaja berkuasa membuat keputusan dalam hal ini, bahkan amat baik hati dan ikhlas mahu membantu negara kita.

Saya juga berkemungkinan akan ke Brunei. Sultan Brunei bertitah agar saya menghadap baginda. Negara ASEAN sentiasa menjadi keutamaan Malaysia apatah lagi Brunei selaku Pengerusi ASEAN 2021.

Menerusi pertemuan Perdana Menteri dengan Presiden Indonesia baru-baru ini, saya dan rakan sejawat, Retno Marsudi diarah mengadakan mesyuarat dengan Menteri-Menteri Luar ASEAN bagi membincangkan hala tuju Myanmar.

Sama ada dibuat secara maya atau bersemuka, ia akan ditentukan Brunei selaku Pengerusi ASEAN 2021. Insya-Allah, ia akan dibincangkan semasa lawatan saya ke Brunei kelak.

Berita Harian X