Selasa, 9 Februari 2021 | 8:50am
KUALA LUMPUR 14 DISEMBER 2019. Pekerja di kilang pemasangan Proton. NSTP/EMAIL
KUALA LUMPUR 14 DISEMBER 2019. Pekerja di kilang pemasangan Proton. NSTP/EMAIL

Pengecualian cukai bantu sektor automotif raih jualan

Kuala Lumpur: Lanjutan pengecualian cukai jualan kenderaan penumpang sehingga 30 Jun ini mampu menjadi pemacu utama yang menyumbang kepada peningkatan jumlah keseluruhan industri (TIV) tahun ini.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, berkata insentif yang diumumkan kerajaan itu sangat dinantikan pihak berkepentingan dalam sektor automotif susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan kali kedua dan situasi penularan COVID-19 yang masih membimbangkan ketika ini.

"MAA mengunjurkan TIV bagi tahun ini 570,000 unit, peningkatan lapan peratus atau 40,566 unit berbanding 2020 dengan 513,000 unit adalah daripada kenderaan penumpang, manakala 57,000 unit lagi adalah kenderaan komersial.

"Untuk separuh 2021, lanjutan pengecualian cukai jualan ini sememangnya membantu meningkatkan TIV. Insentif ini sangat diharapkan oleh semua yang terbabit dalam industri automotif.

"Ia juga sekali gus akan merancakkan jualan kereta penumpang enam bulan pertama 2021 dan menyumbang kepada peningkatan TIV tahun ini," katanya.

Bulan lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) mengumumkan inisiatif lanjutan tempoh pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang sehingga 30 Jun 2021.

Lanjutan pengecualian cukai itu hadir selepas inisiatif diperkenalkan pada Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) berakhir 31 Disember lalu merancakkan semula jualan kenderaan penumpang yang terjejas akibat wabak COVID-19.

Industri automotif melalui 2020 dengan penuh kejutan dan cabaran sebelum kembali bangkit pada separuh kedua tahun lalu, disokong pengenalan inisiatif pengecualian cukai kereta penumpang oleh kerajaan.

Usaha itu dilihat menjadi suntikan berterusan kerajaan untuk memacu semula industri automotif tempatan berikutan wabak COVID-19 bermula Mac hingga Jun, termasuk pengumuman pengecualian cukai jualan kereta penumpang 100 peratus untuk model pemasangan tempatan (CKD) dan 50 peratus, model diimport sepenuhnya (CBU) bermula 15 Jun hingga 31 Disember 2020.

Bagai mendapat suntikan moral, TIV mencatat lonjakan positif bermula pertengahan Jun sehingga mencecah paras tertinggi pada Disember 2020 apabila merekodkan jualan 68,836 unit.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar Sdn Bhd (PESB), Roslan Abdullah, berkata PROTON yakin insentif itu dapat meningkatkan jualan kereta, sekali gus terus merangsang industri automotif secara keseluruhan.

"Skim insentif pengecualian cukai jualan di bawah skim PENJANA merangsang penjualan kenderaan, walaupun pengguna menangani cabaran pandemik.

"Keputusan kerajaan amat kami alu-alukan bagi memastikan sumbangan industri automotif kepada ekonomi negara terus diperkasakan.

"PROTON mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana melanjutkan insentif ini. Kita perlu ingat rantaian pengeluaran automotif masih dalam fasa pemulihan kerana pandemik," katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), Datuk Zainal Abidin Ahmad, berkata pihaknya menyasarkan jualan 240,000 unit produknya tahun ini.

Katanya, sasaran lebih tinggi ditetapkan tahun ini disokong permintaan tinggi bagi model keluarannya serta lanjutan pengecualian cukai jualan diumumkan kerajaan baru-baru ini.

"Dengan pengecualian cukai jualan dilanjutkan sehingga akhir Jun 2021, perkembangan vaksin COVID-19 baru-baru ini dan permintaan berterusan bagi semua model, kami yakin 2021 menjadi tahun pemulihan buat kami," katanya.

Jurucakap Honda Malaysia pula berkata insentif diumumkan kerajaan itu akan membantu lebih ramai rakyat Malaysia membeli kereta baharu.

"Pengecualian cukai jualan ini membantu penjimatan tambahan kepada rakyat untuk memiliki kereta dan pada masa sama ia memacu industri automotif tempatan," katanya.

Berita Harian X