Ahad, 24 Januari 2021 | 11:57pm
Ahmad Zahid ketika mengikuti Mesyuarat Ahli Majlis Presiden PN secara maya dipengerusikan Muhyiddin yang turut dihadiri 11 presiden serta wakil presiden parti. Gambar dari Facebook Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid ketika mengikuti Mesyuarat Ahli Majlis Presiden PN secara maya dipengerusikan Muhyiddin yang turut dihadiri 11 presiden serta wakil presiden parti. Gambar dari Facebook Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid persoal kewajaran kerajaan isytihar darurat

KUALA LUMPUR: UMNO hari ini mempersoal kewajaran kerajaan mengisytiharkan darurat ketika rakyat berdepan kesukaran dalam hidup susulan penularan COVID-19.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut membangkitkan persoalan bagaimana ada negara lain mampu bebas daripada pandemik itu tanpa perlu mengisytiharkan darurat.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu membangkitkan perkara berkenaan dalam Taklimat Darurat Mesyuarat Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, petang tadi.

"Petang tadi dalam Taklimat Darurat kepada presiden parti politik, saya sempat membangkitkan, kenapa terdapat negara yang bebas daripada wabak COVID-19 dan banyak lagi yang kadar pandemik berkurangan.

"Sedangkan negara kita terpaksa proklamasi darurat dan rakyat semakin sengsara dengan kepayahan hidup," katanya menerusi ciapan di Twitter dan hantaran Facebook, hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin dalam hantaran di Facebook memaklumkan mesyuarat Majlis Presiden Kerajaan PN berlangsung petang tadi dihadiri 12 wakil presiden parti termasuk timbalan presiden.

Parti berkenaan adalah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), UMNO, PAS, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), MCA, MIC, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP).

Parti Demokratik Progresif (PDP), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat yang berlangsung kira-kira dua jam yang diadakan secara maya dan berkata ahli Majlis Presiden PN berpuas hati dengan penjelasan berhubung ordinan dan pengurusan darurat serta pengurusan pandemik COVID-19 yang sedang dilaksanakan,

Taklimat mengenai proklamasi darurat disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Norhizan Ismail.

Berita Harian X