Ahad, 24 Januari 2021 | 8:13pm
(Gambar fail) Anggota Polis dibantu Tentera melakukan kawalan ketika bangunan ikonik sekitar Bandaraya Kuala Lumpur. - Foto: NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
(Gambar fail) Anggota Polis dibantu Tentera melakukan kawalan ketika bangunan ikonik sekitar Bandaraya Kuala Lumpur. - Foto: NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Surat tidak nyatakan 'penutupan penuh ekonomi' selepas PKP 2.0 - EuroCham Malaysia

KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia (EuroCham Malaysia) menjelaskan kandungan surat dalaman yang tular tidak menyatakan penutupan sepenuhnya aktiviti ekonomi akan dilaksanakan selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan kali kedua (PKP 2.0) berakhir pada 4 Februari ini.

EuroCham Malaysia dalam satu kenyataan, berkata apa yang dinyatakan dalam surat bertarikh 23 Januari itu adalah merujuk penekanan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang meminta semua kekal fokus memainkan peranan bagi memastikan satu lagi PKP dielakkan.

Merujuk kepada surat edaran dalaman berhubung perbincangan tidak rasmi EuroCham Malaysia bersama MITI pada 22 Januari lalu, EuroCham menjelaskan, ia dihantar kepada semua ahli bagi menyampaikan intipati tidak rasmi dan usaha terpuji kerajaan Malaysia untuk menangani COVID-19.

"Intipati perbincangan tidak rasmi itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang bagaimana komuniti perniagaan dapat memainkan peranan penting dalam meratakan keluk COVID-19 dan kesan ekonomi jika kita semua tidak memainkan peranan aktif.

"Kami ingin menjelaskan bahawa penekanan MITI adalah berkaitan peningkatan mendadak kes jangkitan COVID-19 yang mana menuntut peranan semua, bukannya penutupan aktiviti ekonomi sepenuhnya. Semua perlu menilai dalam gambaran lebih besar," katanya.

Menurut kenyataan itu, surat yang telah mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak itu berkali-kali menyatakan sumbangan semua pihak amat ditagih untuk memutuskan rantaian pandemik.

"Kami ingin menjelaskan bahawa penekanan MITI adalah merujuk kepada peningkatan kes jangkitan COVID-19 yang menuntut peranan semua, bukannya penutupan aktiviti ekonomi," katanya.

Pengerusi EuroCham Malaysia, Oliver Roche, berkata organisasi itu menggesa komuniti perniagaan memandang serius penularan jangkitan yang berkaitan dengan pelbagai sektor iaitu perkilangan, tapak pembinaan dan tempat kerja.

"Adalah penting bagi kita memainkan peranan dengan melabur dalam melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat bagi mengelakkan satu lagi pelaksanaan PKP sepenuhnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EuroCham Malaysia, Sven Schneider, berkata walaupun dunia memberi tumpuan kepada pandemik dan impak negatif kepada ekonomi, kita perlu mengambil satu langkah ke belakang dan melihat apa yang telah dilaksanakan kerajaan Malaysia untuk rakyat.

"Justeru, bagi semua bermula dari rakyat hinggalah komuniti perniagaan, kita mempunyai tanggungjawab untuk meratakan keluk jangkitan COVID-19.

"EuroCham Malaysia akan terus menjadi entiti penting yang menyokong kerajaan Malaysia dan komuniti perniagaan EU-Malaysia," katanya.

Berita Harian X