Sabtu, 23 Januari 2021 | 6:29pm
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,-/Foto NSTP
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,-/Foto NSTP

PKPD asrama Westlite 1,2 di Senai, tamat hari ini

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama pekerja Westlite 1 dan Westlite 2, Senai, Johor yang sepatutnya berakhir Jumaat depan, ditamatkan hari ini.

PKPD di Pusat Koreksional Johor Bahru dan kuarters kakitangannya di Batu 19 Jalan Ulu Choh-Pontian, Johor Bahru serta Penjara Jelebu dan kuarters kakitangannya, di Negeri Sembilan, pula ditamatkan esok mengikut jadual.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bagi asrama pekerja itu, Kementerian Kesihatan (KKM) hingga kini melaksanakan 1,978 ujian saringan dan 692 daripadanya adalah kes positif COVID-19.

"Laporan kes positif di lokaliti itu menunjukkan trend penurunan dan tiada lagi sampel menunggu keputusan.

"Selain itu, KKM mengesahkan 23 baki kes aktif akan tamat tempoh isolasi hari ini.

Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di asrama pekerja itu hari ini, lebih awal daripada dijadualkan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas Pusat Koreksional Johor Bahru, Ismail Sabri berkata, KKM selesai melaksanakan 1,402 ujian saringan dan daripada jumlah itu, 1,015 kes positif COVID-19 direkodkan.

Beliau berkata, KKM mengesahkan kes di lokaliti itu menunjukkan trend penurunan dan terkawal, selain kes terakhir dilaporkan pada 13 Januari lalu.

Bagi Penjara Jelebu, katanya, KKM menjalankan 2,775 ujian saringan dan hasilnya, 908 kes positif COVID-19 direkodkan.

"Kes positif baharu di lokaliti itu menunjukkan penurunan dan tiada penularan jangkitan dikesan terhadap anggota keluarga serta kakitangan tinggal di kuarters berkaitan.

"Bagaimanapun, KKM mengesahkan 49 kes aktif masih dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC).

"Sembilan orang (kontak rapat) masih dalam tempoh Perintah Pengawasan dan Pemantauan di Rumah (HSO) ditempatkan di blok transit (blok muhasabah).

"Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, PKPD di Penjara Jelebu ditamatkan esok, kecuali blok transit (blok muhasabah) yang dilanjutkan bermula Isnin ini hingga 7 Februari," katanya.

Berita Harian X