Jumaat, 22 Januari 2021 | 10:51pm

Jabatan Kesihatan arah tutup sekolah

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan negeri (JKNT) mengarahkan Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1

di sini ditutup selama 14 hari sehingga 5 Februari ini selepas lapan gurunya disahkan positif COVID-19 hari ini.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus, ketika mengesahkan perkara itu berkata penutupan itu dilakukan mengikut Seksyen 18 (1), (d), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 332) bagi mengelakkan jangkitan wabak.

"Pihak sekolah diperintahkan mematuhi arahan kerja membasmi kuman dan kegagalan mematuhi perintah adalah satu kesalahan dibawah Seksyen 22 (b), Akta 342.

"Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 24 (a) akta yang sama boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau didenda atau keduanya sekali," katanya.

Difahamkan, sekolah itu belum memulakan sesi persekolahan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan semalam.

Pengurusan sekolah itu sudah menghubungi semua ibu bapa murid mengenai penangguhan pengagihan buku teks yang sepatutnya dijadualkan Ahad ini.

Difahamkan, semua ibu bapa murid Tahun Satu dan Enam di sekolah itu diarahkan tidak memasuki dan menghampiri kawasan sekolah.

Berita Harian X