Rabu, 20 Januari 2021 | 4:17pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Bapa mentua mengaku cabul menantu

KAJANG: Seorang pekerja kilang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan mencabul kehormatan isteri kepada anak tirinya, dua tahun lalu.

Majistret Syahrul Sazly Md Sain menetapkan 23 Mac ini untuk fakta kes dan menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh yang berumur 30 tahun.

Lelaki itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mahu mencabul kehormatan mangsa yang berumur 31 tahun dengan cara memeluknya di sebuah rumah di Taman Cheras Prima di sini, pada 2 pagi, 6 Oktober 2019.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh merupakan individu yang dikehendaki polis dalam kes itu.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan lelaki itu yang tidak diwakili peguam diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran dua kali sebulan. – BERNAMA

Berita Harian X