Rabu, 13 Januari 2021 | 11:35pm
Tiada urusan banci bersemuka di kawasan dikenakan PKP - Mohd Uzir. FOTO NSTP
Tiada urusan banci bersemuka di kawasan dikenakan PKP - Mohd Uzir. FOTO NSTP

Tiada banci bersemuka di negeri dikenakan PKP

KUALA LUMPUR: Gerak kerja Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) secara bersemuka akan disusun semula selari dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata urusan banci akan disusun berdasarkan tiga kategori pelaksanaan PKP dan prosedur operasi standard (SOP) Operasi Pembancian di Lapangan Banci Malaysia 2020 yang diluluskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, pembancian bersemuka akan tetap dilaksanakan di negeri dikenakan PKP Pemulihan (PKPP) dan PKP Bersyarat (PKPB).

"Banci tidak dibenarkan dilakukan di kawasan dikenakan PKP dan PKP Diperketatkan (PKPD).

"Ia akan dikumpul melalui banci dalam talian menerusi platform e-Census dan panggilan telefon mengikut kesesuaian,

"Justeru itu, jabatan membuka semula platform e-Census untuk bancian dalam talian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jabatan Perangkaan sebelum ini menjadualkan semula Banci Malaysia 2020 yang sepatutnya bermula pada 7 hingga 24 Oktober ini kepada 20 Januari sehingga 6 Februari 2021.

Penjadualan semula proses banci tahun lalu itu disebabkan peningkatan mendadak kes COVID-19.

Kerajaan pada Isnin lalu memutuskan untuk melaksanakan PKP selama 14 hari di enam negeri mulai hari ini sehingga 26 Januari.

Enam negeri terbabit adalah Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

PKPB bagi tempoh sama pula akan dikenakan di enam negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Perlis dan Sarawak pula dikenakan PKPP) untuk tempoh sama.

Mohd Uzir yang juga Pesuruhjaya Banci 2020 berkata, sehingga kini, seramai 8.8 juta atau 27.1 peratus daripada anggaran 32.7 juta penduduk Malaysia direkodkan dalam Banci Malaysia 2020.

"Orang ramai yang belum membuat pengisian banci diseru mengisi maklumat banci dalam talian dan boleh berhubung dengan Helpdesk di helpdesk.banci@dosm.gov.my dan jabatan terdekat untuk bantuan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Uzir disahkan negatif COVID-19 hasil ujian saringan hari ini, namun beliau akan terus menjalani kuarantin kendiri sehingga Jumaat ini.

Berita Harian X