Rabu, 13 Januari 2021 | 6:36pm

COVID-19: 2,985 kes baharu, 32,377 kes aktif

PUTRAJAYA: Sebanyak 2,985 kes positif baharu COVID-19 dicatatkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan wabak berkenaan sebanyak 144,518 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata 2,983 daripada kes harian hari ini membabitkan jangkitan tempatan manakala dua lagi adalah kes import.

Dengan itu, ketika ini kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 32,377 kes.

"Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 837 kes (28.0 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 605 kes (72.3 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

"Ini diikuti oleh Johor sebanyak 535 kes (17.9 peratus) dan Sabah sebanyak 450 kes (15.1 peratus). Sebanyak 296 kes (9.9 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depoh tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok Choh (161 kes), Kluster Tembok Mempaga (110 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (20 kes), Kluster Pagar Siput (dua kes), Kluster Tembok Gajah (satu kes), Kluster Telok Mas (satu kes), dan Kluster Pagar Bentong (satu kes)," katanya pada sidang media hari ini.

Bagi negeri lain yang mencatatkan pertambahan kes hari ini ialah Kuala Lumpur dengan 289 kes diikuti, Sarawak (166); Pahang (143); Negeri Sembilan (106); Pulau Pinang (105); Kedah (97); Kelantan (85); Melaka (72); Perak (61); Terengganu (27) dan Putrajaya (11).

Dr Noor Hisham berkata dengan pertambahan kes itu, hingga kini seramai 197 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 79 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, sehingga jam 12 tengah hari ini terdapat 944 kes pulih sepenuhnya dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 111,578 kes atau 77.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Berita Harian X