Rabu, 13 Januari 2021 | 9:42am
JAIS mengesahkan usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat disiasat mengikut Seksyen 10, Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor. ARKIB NSTP
JAIS mengesahkan usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat disiasat mengikut Seksyen 10, Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor. ARKIB NSTP

JAIS sahkan Sajat disiasat

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman, 36 atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat disiasat mengikut Seksyen 10, Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor.

JAIS dalam kenyataan memaklumkan, siasatan terhadap Nur Sajat dibuat berikutan terdapat beberapa aduan yang diterima mengenai perlakuannya pada 2018 dan 2020.

Menurut jabatan itu, pihaknya juga mengambil maklum berhubung video yang ditularkan usahawan berkenaan berkaitan insiden membabitkan dirinya dan beberapa orang penguat kuasa JAIS, baru-baru ini.

"Dia sudah membuat laporan polis berkaitan insiden itu dan pegawai penguat kuasa berkenaan juga dipanggil untuk memberikan keterangan," katanya.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan mengenai pendedahan Nur Sajat berkaitan layanan tidak wajar penguat kuasa JAIS terhadapnya dan dia turut ditahan di Pusat Tahanan Sementara, di Kuala Kubu Bharu pada 6 Januari lalu.

Nur Sajat turut meluahkan rasa kesal dengan tindakan penguat kuasa berkenaan walaupun dia sudah tampil memberikan kerjasama untuk siasatan pihak JAIS.

Beliau juga mendakwa pihak JAIS seolah-olah melengah-lengahkan urusan surat jaminan dan turut menyebabkan kecederaan serta digari sehingga mengalami bengkak di bahagian badan kerana bergelut untuk mempertahankan diri.

Berita Harian X