Rabu, 13 Januari 2021 | 8:04am

'Nak tengok polis buat persiapan PKP'

KLANG: Masih terdapat orang ramai yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila mereka ditahan polis dalam sekatan jalan raya tengah malam tadi.

Sebahagian daripada mereka yang ditahan memberi alasan mahu meninjau persediaan PKP oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) malah ada yang mendakwa tidak tahu mengenai PKP.

Tinjauan BH tengah malam tadi di sekatan jalan raya Persiaran Kota, berhadapan bangunan Majlis Perbandaran Klang (MPK) selama satu jam mendapati jumlah kereta masih banyak di jalan raya malah beberapa pengguna ditahan kerana mempunyai lebih daripada dua individu dalam satu kenderaan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata sebahagian orang awam yang ditahan mempunyai alasan yang kukuh tetapi yang lain masih ingkar SOP.

"Pelbagai alasan diberikan termasuk tidak tahu. Saya berharap orang ramai bekerjasama dan patuh SOP," katanya.

Tambahnya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, mengadakan lima sekatan jalan raya statik 24 jam yang didirikan di sempadan daerah untuk laluan keluar kawasan pentadbiran Klang Selatan termasuk di susur keluar MPK, Jalan Langat iaitu jalan keluar dari Klang Selatan ke Banting, Lebuhraya Klang Shah Alam (KESAS) iaitu laluan Klang ke Shah Alam.

"Terdapat juga dua sekatan jalan raya di laluan dalam iaitu Jalan Datuk Sidin dan Jalan Sungai Udang di Kampung Delek.

"Tiga sekatan jalan raya secara bergerak juga diadakan di kawasan yang dijangkakan itu menjadi tumpuan orang ramai iaitu di kawasan Bukit Tinggi, Sentosa dan kawasan berhampiran," katanya.

Tambahnya, empat jalan ditutup sepenuhnya iaitu Jambatan Musaeddin; Jalan Tengku Kelana, Klang; Jambatan Raja Muda Nala, Klang; Jambatan Besi (Pengkalan Batu) dan Jambatan Raja Zainal (Jalan Bukit Badak).

Polis membuat pemeriksaan pada kenderaan yang melalui sekatan jalan raya berikutan PKP bermula tengah malam tadi sehingga 26 Januari. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal
Polis membuat pemeriksaan pada kenderaan yang melalui sekatan jalan raya berikutan PKP bermula tengah malam tadi sehingga 26 Januari. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal
Berita Harian X