Ahad, 10 Januari 2021 | 9:32am
Pemandangan menerusi udara di sekitar kawasan bandar Chukai yang dilanda banjir. Sehingga jam 8 pagi ini, seramai 10,086 mangsa daripada 2,534 keluarga ditempatkan di 43 PPS. FOTO BERNAMA
Pemandangan menerusi udara di sekitar kawasan bandar Chukai yang dilanda banjir. Sehingga jam 8 pagi ini, seramai 10,086 mangsa daripada 2,534 keluarga ditempatkan di 43 PPS. FOTO BERNAMA

Banjir Terengganu, 10,086 ditempatkan di 43 pusat pemindahan

CHUKAI: Jumlah mangsa banjir di Terengganu tidak menunjukkan perubahan ketara apabila dua daerah iaitu Dungun dan Kemaman masih terjejas.

Sehingga jam 8 pagi tadi, seramai 10,086 mangsa daripada 2,534 keluarga masih berada di 43 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding petang semalam yang merekodkan seramai 10,124 mangsa daripada 2,566 keluarga di 50 PPS.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, berkata jumlah mangsa di Kemaman adalah seramai 8,626 orang daripada 2,125 keluarga di 19 PPS.

Keadaan banjir di Chukai. - NSTP/Zatul Iffah Zolkiply
Keadaan banjir di Chukai. - NSTP/Zatul Iffah Zolkiply

Katanya, ia menunjukkan penambahan berbanding petang semalam yang merekodkan seramai 7,897 mangsa daripada 1,930 keluarga ditempatkan di 25 PPS.

"Di Dungun, jumlah mangsa banjir adalah seramai seramai 1,460 orang daripada 409 keluarga ditempatkan di 24 PPS," katanya.

Che Adam berkata, hanya Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman melepasi paras bahaya dengan bacaan 5.18 meter.

Katanya, Sungai Dungun di Jambatan Jerangau pula berada pada paras amaran dengan bacaan 12.48 meter manakala, lima lagi sungai direkodkan berada pada paras waspada.

Penduduk menaiki jentolak untuk meredah banjir di Kampung Pengkalan Pandan. - NSTP/Zatul Iffah Zolkiply
Penduduk menaiki jentolak untuk meredah banjir di Kampung Pengkalan Pandan. - NSTP/Zatul Iffah Zolkiply

Berita Harian X