CHUKAI: Seorang wanita berusia 77 tahun yang uzur bersama anak perempuannya yang masih dalam tempoh berpantang dan cucu berusia 34 hari, 'meredah' banjir sedalam hampir satu meter apabila rumah mereka di Kampung Tempurung, di sini, dinaiki air awal pagi tadi.
Rahmah Sulong, 77, dan anak perempuannya, Suhana Mat Sohor, 40, bersama bayi yang masih belum didaftarkan kelahiran itu diselamatkan anggota bomba bersama bantuan ahli keluarga lain dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi berkenaan.
Suhana, ibu kepada empat anak, memaklumkan kawasan rumahnya mula dinaiki air kira-kira jam 12 tengah malam tadi dan kemudian semakin tinggi menjelang awal pagi, menyebabkan mereka mengambil keputusan berpindah.
Dengan bantuan anggota bomba dan ahli keluarga, mereka meredah bah sejauh kira-kira 50 meter sebelum menaiki lori bomba dan dibawa ke pusat pemindahan sementara di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman.
"Air naik terlalu cepat menyebabkan sebahagian rumah terutama bahagian dapur ditenggelami air. Melihat air semakin tinggi, saya semakin cemas dan bimbangkan keselamatan kami sekeluarga, terutama ibu yang uzur dan ada masalah penglihatan selain anak-anak yang masih kecil.
"Kalau diikutkan, saya tidak mahu berpindah kerana masih berpantang selain memikirkan keadaan bayi yang baru lahir dan ibu yang uzur," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan berkenaan, hari ini.
Katanya, dia tidak menyangka akan ke pusat pemindahan yang sama sekali lagi, selepas terpaksa berpindah semasa banjir pada November lalu ketika sarat mengandung anak keempatnya itu yang bakal diberi nama Mariam Mikayla Rosli.
"Ketika banjir November lalu, kami sekeluarga berpindah ke sini dan kini terpaksa kembali ke pusat pemindahan ini. Sebenarnya, ini juga pengalaman kedua saya berpantang di pusat pemindahan kerana pernah melalui situasi sama enam tahun lalu," katanya.