Rabu, 6 Januari 2021 | 4:47pm
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) kini memperketatkan prosedur import daging sejuk beku ke Malaysia. - NSTP/Aswadi Alias
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) kini memperketatkan prosedur import daging sejuk beku ke Malaysia. - NSTP/Aswadi Alias

Jabatan Veterinar perketat prosedur import daging

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) kini memperketatkan prosedur import daging sejuk beku ke Malaysia, membabitkan sembilan negara sumber bagi menangani isu keraguan terhadap status bekalan berkenaan.

Bermula Jumaat lalu (1 Januari), semua konsaimen daging import dari Australia, New Zealand, Brazil, Argentina, Amerika Syarikat, Jepun, Afrika Selatan, India dan Pakistan, wajib dilekatkan label khas di bahagian luar dan dalam kotak, sebelum boleh dihantar ke Malaysia.

Label itu wajib mengandungi nama dan logo badan halal negara pengeksport yang diiktiraf JAKIM, butiran lengkap pusat penyembelihan diiktiraf pihak berkuasa Malaysia, termasuk nama, alamat dan nombor pentadbiran (establishment) rumah sembelihan berkenaan.

Ketua Pengarah JPV, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor, berkata label itu juga perlu mempunyai maklumat nombor lot atau kumpulan bekalan daging serta tarikh penyembelihan ternakan terbabit dilakukan.

"Syarat terbaru ini dikuatkuasakan bertujuan menambah baik keupayaan daya jejak dan memudahkan proses pemeriksaan dan pengesahan di pintu masuk negara oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Ketua Pengarah JPV, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor.
Ketua Pengarah JPV, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor.

"Semua rumah penyembelihan dan loji pemprosesan daging yang sudah lulus pengauditan dan diiktiraf untuk kelulusan eksport ke Malaysia, juga wajib didaftarkan di dalam sistem e-Permit," katanya kepada BH semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas langkah diambil JPV bagi memperkemaskan prosedur import daging, susulan isu kartel daging yang dilaporkan mengimport daripada sumber tidak sah sebelum ditampal logo halal yang dipalsukan.

JPV adalah agensi kerajaan kedua membuat penambahbaikan terhadap bekalan daging import selepas tindakan sama dilaksanakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang mengeluarkan pelan tindakan menangani isu keraguan status halal daging import.

Keratan akhbar BH Sabtu lalu.
Keratan akhbar BH Sabtu lalu.

Isu kartel daging meresahkan pengguna, khususnya umat Islam negara ini kerana perbuatan itu jelas membabitkan penipuan oleh pengimport dan penyelewengan serta korupsi dalam kalangan pihak bertanggungjawab mengawasinya di pintu masuk negara.

Dr Norlizan berkata, mana-mana syarikat yang memohon permit import daging hanya boleh memilih rumah penyembelihan dan loji pemprosesan daging yang disenaraikan dalam daftar e-Permit sahaja.

"Manakala syarikat yang diberikan kelulusan mengimport daging adalah juga yang berdaftar dalam sistem terbabit.

"Hanya syarikat yang sudah berdaftar yang boleh memasuki sistem untuk tujuan permohonan permit import daging," katanya.

Berita Harian X