Ahad, 3 Januari 2021 | 11:46am
Tangkap layar rungutan buskers yang tular. - Foto media sosial
Tangkap layar rungutan buskers yang tular. - Foto media sosial

Keluhan buskers: RM3,000 deposit, bukan caj hiburan - MPPD

PORT DICKSON: Keluhan kumpulan buskers yang tidak berpuas hati kerana mendakwa dikenakan caj hiburan RM3,000 oleh Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) adalah salah faham.

Yang Dipertua MPPD, Mohd Zamri Mohd Esa, berkata kumpulan buskers berkenaan salah faham mengenai bayaran yang dikenakan.

Bayaran RM220 (caj biasa dikenakan) untuk tiga bulan dan isu sebenarnya adalah deposit Hiburan Awam sebanyak RM3,000.

"Deposit ini (RM3,000) akan dipulangkan semula apabila mereka tidak mahu menyambung permit selepas tiga bulan yang dibenarkan, ini yang mereka salah faham sebenarnya," katanya dihubungi semalam.

Kumpulan buskers yang mahu mengadakan persembahan terbuka di tempat awam perlu mengisi Borang Permit Hiburan Awam Aktiviti Hiburan dan Persembahan Terbuka.

"Memang ada syarat yang dikenakan seperti perlu dapatkan ulasan sokongan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masa persembahan tidak lebih 12 tengah malam," katanya

Mohd Zamri berkata, kumpulan buskers juga dilarang menjual minuman keras atau ada unsur-unsur yang mempengaruhi aktiviti tidak sihat.

"Bagi MPPD, penganjur yang sepatutnya uruskan deposit itu seperti penganjur tapak pasar malam, kedai makan atau penganjur apa-apa program.

"Permit sebenarnya tidak mahal cuma kita pegang deposit RM3,000 yang mungkin menyebabkan mereka salah faham dan syarat-syarat ini kami (MPPD) rujuk (kepada) Enakmen Hiburan," katanya.

Berita Harian X