Selasa, 29 Disember 2020 | 8:35pm
Karim (tengah) pada sidang media mengenai Countdown 2021 Sarawak di Stadium Perpaduan. - NSTP/Melvin Joni
Karim (tengah) pada sidang media mengenai Countdown 2021 Sarawak di Stadium Perpaduan. - NSTP/Melvin Joni

Sarawak mohon maaf kepada Dayang Nurfaizah

KUCHING: Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, memohon maaf kepada penyanyi anak negeri itu, Dayang Nurfaizah berhubung salah faham mengenai SOP COVID-19 ketika memasuki Sarawak.

Ia berikutan artis itu yang dijemput sebagai penyanyi undangan utama untuk Countdown 2021 Sarawak, yang dijadual pada Khamis ini telah dikenakan ujian calitan COVID-19 sebanyak dua kali dan dikuarantin sebaik memasuki negeri ini semalam walaupun sudah diberi kelonggaran oleh kerajaan negeri.

Menurut Karim, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas sudah bersetuju agar Dayang diberi kelonggaran daripada prosedur operasi standard (SOP) memasuki Sarawak iaitu tanpa perlu mengambil ujian calitan dan dikuarantin.

Bagaimanapun, katanya apabila Dayang tiba di sini semalam, beliau diminta menjalani semula ujian calitan walaupun sudah membuatnya di Kuala Lumpur, sebelum masuk ke Sarawak.

"Prosedur bagi kes khas seperti ini ialah mereka boleh berada di sini (Sarawak) dalam tempoh 72 jam tanpa dikuarantin tetapi mesti menjalani ujian calitan sebelum masuk.

"Beliau (Dayang) sudah menjalani ujian calitan pada 25 Disember lalu namun apabila sampai di sini semalam (Isnin), kena calit lagi dan dikuarantin.

Penyanyi, Dayang Nurfaizah. - Foto NSTP
Penyanyi, Dayang Nurfaizah. - Foto NSTP

"Bagaimana anda boleh dicalit dua kali dalam tiga hari, saya memohon maaf kepada Dayang di atas kesulitan yang dialaminya," katanya pada sidang media Countdown 2021 Sarawak di Stadium Perpaduan, di sini hari ini.

Sementara mengenai Countdown 2021 Sarawak, Karim berkata acara yang dijadual berlangsung di Stadium Perpaduan, Petra Jaya ini dijangka dihadiri seramai 1,000 orang tetamu jemputan termasuk Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, dengan SOP yang ketat.

Katanya selain persembahan nyanyian oleh Dayang, acara itu akan turut diserikan dengan persembahan kumpulan muzik, tarian, orkestra dan banyak lagi di mana kemuncaknya ialah pertunjukan bunga api pada tengah malam.

Bagaimanapun, katanya acara ini hanya akan dihadiri oleh tetamu jemputan sahaja namun orang ramai boleh menyaksikan secara langsung menerusi TV Sarawak atau Facebook Live yang dibuat oleh UKAS.

Berita Harian X