Isnin, 28 Disember 2020 | 12:51pm

Kerajaan digesa segera bertindak

Kuala Lumpur: Pelbagai pihak, termasuk pemimpin politik, dewan perniagaan dan persatuan pengguna mahu kerajaan bertindak segera menangani isu kartel daging import seludup serta status halalnya yang mencetuskan kebimbangan umat Islam di negara ini.

Tindakan yang dicadangkan termasuk mewujudkan pasukan siasatan khas, malah ada menyarankan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kegiatan itu dan mendedahkan semua pihak yang terbabit.

Ada juga yang meminta didedahkan jenama menggunakan label halal yang diragui supaya pengguna, terutama umat Islam boleh berhenti membelinya.

Cadangan penubuhan RCI disyorkan oleh Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf kerana isu berkenaan disifatkannya kritikal berikutan membabitkan soal syariat dan akidah umat Islam.

Sebagai bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap ehwal Islam, beliau bimbang, jika tidak ditangani sewajarnya, ia boleh mencetuskan persoalan mengenai integriti dan kualiti label halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selaku pengeluar pensijilan itu.

RCI juga, katanya, mempunyai kuasa bagi menyiasat isu terbabit secara lebih mendalam, terutama kemungkinan kaitannya dengan rasuah, habuan tertentu dan lebih utama, kerapuhan pintu masuk negara yang boleh mendedahkan pula kepada isu lebih besar mengenai aspek keselamatan.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula menyarankan penubuhan pasukan khas bagi menyiasat kes berkenaan yang wajar disegerakan bagi mengesan kemungkinan berlaku penyelewengan dan rasuah.

"Pasukan khas itu perlu membabitkan pelbagai agensi kawal selia dan penguatkuasaan industri halal, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Selain mengisytihar dan mendedahkan nama syarikat sedang disiasat serta penubuhan pasukan khas, Asyraf juga meminta tindakan segera menarik bekalan daging yang memasuki pasaran dalam tempoh dua minggu ini oleh syarikat berkenaan dilakukan, bagi mengelakkannya dijual kepada rakyat dan pengusaha makanan.

Beliau turut meminta jangan ada usaha melindungi mana-mana pihak termasuk orang kenamaan jika mereka terbabit dengan kartel berkenaan.

Sementara itu, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Johor menegaskan, kerajaan perlu memperhalusi cadangan supaya hanya ternakan hidup dibenarkan diimport bagi menamatkan kegiatan kartel serta memastikan jaminan bekalan daging halal di negara ini.

Sambil mendesak kerajaan mendedahkan semua jenama produk daging import yang diseludup masuk oleh kartel ke negara ini selama ini, Pemangku Yang Dipertuanya, Muhammed Farhan Basheer, berkata langkah itu dapat menjamin bekalan daging halal dan berkualiti untuk pasaran negara.

Beliau juga mendedahkan, pihaknya mempunyai sekurang-kurangnya enam jenama daging import yang diragui kualiti dan status halalnya, tetapi menyerahkan kepada kerajaan untuk membuat pendedahan berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menjelaskan, siasatan ke atas syarikat tempatan disyaki terbabit dalam isu itu akan mengambil masa sebelum pendakwaan boleh dilakukan.

Ini kerana, katanya, siasatan kes berkenaan adalah kompleks kerana memerlukan pembabitan pelbagai agensi seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan JAKIM, bukan hanya KPDNHEP.

"Kita tidak boleh terburu-buru tanpa kesimpulan daripada agensi lain kerana isu ini rumit. Jadi, biarkan kami dan agensi yang lain melakukan siasatan terperinci. Kalau kita tergesa-gesa (dakwa syarikat di mahkamah), akan banyak implikasinya dalam aspek undang-undang," katanya.

Sebelum ini, KPDNHEP mengesahkan sedang menyiasat syarikat tempatan yang disyaki terbabit dengan isu kartel daging import di bawah dua kesalahan cap dagangan, mengikut Perenggan 8, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara, Mohd Azmi Abdul Hamid percaya kebergantungan negara kepada sehingga 70 peratus daging lembu import, membuka peluang kepada kartel menguasai pasaran tempatan.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan melaksanakan usaha untuk meningkatkan pengeluaran daging tempatan bagi mengelakkan kebergantungan berkenaan yang menjurus kepada monopoli oleh kartel dan perlakuan rasuah dalam kalangan kakitangan pihak berkuasa tertentu.

Katanya, isu kartel daging import harus menjadi pengajaran kepada semua bahawa kebergantungan kepada bahan makanan import pasti akan membawa risiko penyelewengan dan membuka ruang kepada pihak tertentu meraih untung mudah dengan memalsukan sijil halal dan syarat kemasukan ke pasaran tempatan.

Pendapat sama dipersetujui Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang melihat isu kartel daging seharusnya membuka mata semua pihak mengenai perlunya rakyat Malaysia terbabit dalam pengeluaran produk tani, khususnya makanan halal.

"Rakyat Malaysia masih terlalu bergantung kepada produk asas tani import. Sudah tiba masanya rakyat terbabit dalam ekosistem pengeluaran makanan. Kita mahu lebih ramai belia dan siswazah menganggur menjadi pelopor dalam pertanian.

"Mereka perlu mengubah corak pemikiran, jangan hanya fokus untuk makan gaji. Mereka harus membuka mata terhadap potensi perniagaan yang sangat besar dalam sektor pengeluaran makanan," katanya.

Kartel yang terbabit dalam pengimportan daging sejuk beku dari negara sumber tidak sah, termasuk diragui status halal dan kualitinya, dipercayai 'membeli' beberapa kakitangan kerajaan, termasuk pegawai kanan agensi tertentu bagi melepasi pemeriksaan di pintu masuk negara.

Wang ringgit dan habuan berlibur dikatakan diguna bagi merasuah pegawai terbabit sebagai dorongan 'melepaskan' barangan yang diimport tanpa mengikut peraturan ke pasaran negara ini.

Sebelum ini, BH melaporkan sumber yang rapat dengan siasatan kes terbabit, mendakwa kartel mempunyai 'orang dalam' pada semua peringkat prosedur dan pemeriksaan di pintu masuk, menyebabkan mereka kebal sehingga mampu beroperasi sejak lebih 40 tahun lalu.

Rampasan 30 tan daging sejuk beku yang dipercayai dibungkus semula dan kemudian menggunakan tanda halal palsu di Johor pada awal bulan ini, didakwa sebahagian bukti kegiatan kartel yang disyaki dibantu beberapa penjawat awam yang menyalahguna kuasa.

Keratan akhbar BH, 21 Disember lalu.
Keratan akhbar BH, 21 Disember lalu.

Berita Harian X