Ahad, 27 Disember 2020 | 12:45pm
Situasi akan sukar jika mereka (syarikat) langsung tidak ambil juruterbang muda kerana tak selamanya mereka mampu bergantung kepada juruterbang sedia ada. - Azharuddin Abdul Rahman, Bekas Ketua Pengarah Penerbangan Awam
Situasi akan sukar jika mereka (syarikat) langsung tidak ambil juruterbang muda kerana tak selamanya mereka mampu bergantung kepada juruterbang sedia ada. - Azharuddin Abdul Rahman, Bekas Ketua Pengarah Penerbangan Awam

Graduan penerbangan dibebani hutang

Kuala Lumpur: Nasib graduan akademi penerbangan dan kadet juruterbang yang terpaksa membuat pinjaman mencecah ratusan ribu ringgit untuk menggapai cita-cita menjadi juruterbang, kini tidak menentu berikutan kesan pandemik COVID-19 yang hampir melumpuhkan industri itu.

Tiada pihak yang berani memberi tempoh tepat bila industri penerbangan boleh kembali pulih sepenuhnya selagi pintu sempadan tidak dibuka seperti biasa serta kawalan pergerakan pelancong antara negara tidak ditamatkan.

Pihak industri bagaimanapun meramalkan sektor ekonomi berkenaan dijangka pulih sekurang-kurangnya dua tahun lagi, namun tiada jaminan pelajar yang masih mengikuti latihan di akademi atau sekolah penerbangan, akan mudah mendapat pekerjaan dalam tempoh itu.

Walaupun hasrat menjadi juruterbang terpaksa ditangguhkan, mereka tetap perlu melunaskan hutang pinjaman yang boleh mencecah RM350,000 bagi kos pengajian dua tahun, sebaik menamatkan latihan di akademi penerbangan masing-masing.

BH difahamkan, sekurang-kurangnya ada lima akademi penerbangan di Malaysia dan dalam tempoh pengajian, bank membenarkan pelatih hanya membayar faedah pinjaman antara RM700 hingga RM800 sebulan, namun sejurus tamat latihan, bayaran akan meningkat mengikut kadar ditetapkan pihak bank.

Ini bermakna, sekiranya tamat belajar, graduan akademi penerbangan atau juruterbang kadet itu dikatakan terpaksa menanggung bayaran balik hutang sekitar RM1,500 hingga RM2,500 sebulan, walaupun masih belum mendapatkan pekerjaan dan bergelar juruterbang.

Perkara itu diakui seorang pelatih penerbangan, Harith Hazran Kalam Azam, 30, yang mengakui beliau dan kebanyakan rakannya yang mengikuti latihan selama 24 bulan terpaksa meminjam lebih RM300,000.

 Harith Hazran perlu menanggung sendiri kos pengajian bagi menimba ilmu dan kemahiran teknikal.
Harith Hazran perlu menanggung sendiri kos pengajian bagi menimba ilmu dan kemahiran teknikal.

Katanya, bank mempunyai skim pinjaman kepada mereka yang mengikuti pengajian di akademi penerbangan kerana jaminan pekerjaan dengan syarikat penerbangan.

Bagaimanapun, Harith Hazran berkata, pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika ini bakal menimbulkan kesukaran kepada mereka yang meminjam kerana ansuran bulanan pinjaman tetap perlu dijelaskan selepas tamat latihan.

"Saya sendiri ambil pinjaman peribadi sebanyak RM350,000 dan perlu menanggung sendiri kos pengajian bagi menimba ilmu dan kemahiran teknikal. Sepatutnya awal tahun lalu, saya sudah tamat pengajian, tetapi disebabkan COVID-19, kursus hanya berakhir pada pertengahan tahun hadapan.

"Ia bermakna selepas tamat latihan, saya harus membayar jumlah ansuran yang ditetapkan bank untuk pinjaman yang dibuat," katanya kepada BH.

Harith Hazran yang sepatutnya bertugas dengan AirAsia selepas tamat latihan berkata, ketika ini beliau masih buntu mencari dana menjelaskan pinjaman bank sekiranya tidak mempunyai peluang menjadi juruterbang.

"Saya akui, agak tertekan dengan situasi semasa, tetapi saya cuba berfikiran positif dan menghabiskan kursus ini dengan cemerlang," katanya yang sebelum ini adalah akauntan profesional.

Mengenai perancangan bagi melunaskan pinjaman, katanya, beliau mungkin kembali kepada kerjaya asal selepas menamatkan latihan penerbangan nanti bagi menampung bayaran pinjaman pengajiannya di akademi.

"Saya tidak menyesal bertukar kerjaya kerana saya mengejar cita-cita, COVID-19 juga hadir tanpa diduga. Kami diberi jaminan ditawarkan berkhidmat dengan syarikat penerbangan dalam tempoh 18 bulan nanti, tetapi menunggu tempoh itu, saya perlu melakukan perancangan kehidupan yang terbaik," katanya.

Seorang lagi pelatih penerbangan, Erica Yap, 21, berkata beliau akan segera mencari kerja lain selepas menamatkan latihan sementara menunggu peluang untuk bergelar sebagai juruterbang.

"Saya mempunyai pinjaman bank yang perlu dijelaskan setiap bulan. Jadi, saya tidak boleh duduk sahaja selepas tamat pengajian, sebaliknya perlu mencari kerja untuk membayar pinjaman ini," katanya yang percaya peluang bergelar juruterbang akan tiba juga satu hari nanti.

"Sebelum ini, orang kata sebagai perempuan dan memakai cermin mata, saya sukar untuk menjadi juruterbang, tetapi saya sudah buktikan apabila layak mengikuti kursus ini. AirAsia juga menawarkan pekerjaan selepas tamat pengajian," katanya.

Sebelum ini, Pengarah Eksekutif Kumpulan Bertindak Pengangkutan Udara (ATAG), Michael Gill, sebuah badan berkaitan penerbangan berpusat di Geneva, dalam satu laporannya berkata, jumlah penumpang udara pada tahun ini berkurang separuh berbanding 2019, sekali gus menyebabkan pekerja dalam sektor itu menghadapi risiko pekerjaan.

"Analisis kami menunjukkan 4.8 juta pekerjaan dalam sektor pengangkutan udara akan hilang seawal tahun depan, iaitu pengurangan 43 peratus berbanding tahap pra-COVID-19.

"Jika mengambil kira keseluruhan yang terjejas dan bergantung kepada pekerjaan bidang penerbangan, 46 juta pekerjaan menghadapi risiko," katanya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, juga sebelum ini berkata, syarikat penerbangan di Malaysia dijangka memerlukan tiga tahun untuk 'bangkit' daripada kesan pandemik COVID-19.

Syarikat utama juruterbang diberhenti

Kuala Lumpur: Sektor penerbangan dijangka pulih menjelang akhir tahun depan, tetapi keadaan itu tidak dijamin memberi kelebihan yang cepat kepada graduan penerbangan.

Bekas Ketua Pengarah Penerbangan Awam, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman, berkata syarikat penerbangan dijangka memberi peluang kepada juruterbang yang diberhentikan kerana mereka mempunyai kelebihan pengalaman, tidak perlu dilatih lagi kecuali latihan ulangan untuk memantapkan semula kemahiran sedia ada.

"Bagaimanapun, ia tidak bermakna pelajar akademi penerbangan tidak akan mendapat langsung peluang kerana syarikat penerbangan berprestasi baik pasti mahu ada perantis untuk juruterbang sedia ada," katanya kepada BH.

Azharuddin yang juga Pengerusi Akademi Penerbangan Layang-Layang, percaya syarikat penerbangan akan tetap mengambil graduan baharu untuk diserap sebagai juruterbang muda kerana kehadiran mereka penting untuk perkembangan syarikat.

"Situasi akan sukar jika mereka (syarikat) langsung tidak mengambil juruterbang muda kerana tidak selama-lamanya mereka mampu bergantung kepada juruterbang sedia ada. Setiap juruterbang perlu sentiasa dilatih kemampuan dan kemahiran mereka meskipun sudah berpengalaman lama.

PUTRAJAYA 10 DECEMBER 2020. Pengerusi Layang-Layang Flying Academy Sdn Bhd, Datuk Seri Azharuddin Abd Rahman. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
PUTRAJAYA 10 DECEMBER 2020. Pengerusi Layang-Layang Flying Academy Sdn Bhd, Datuk Seri Azharuddin Abd Rahman. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

"Juruterbang muda diambil sebagai co-pilot untuk menimba pengalaman. Mereka tidak boleh direkrut dan terus menerbangkan pesawat.

"Ada tempoh yang lama sebelum ke arah itu dan disebabkan itu, pengambilan juruterbang muda adalah penting," katanya.

Walaupun graduan penerbangan perlu menunggu tempoh lama sebelum diambil bekerja, Azharuddin berkata, itu adalah peluang bagi mereka untuk bergelar juruterbang selepas melabur wang yang banyak dan bertungkus-lumus mengasah kemahiran.

"Kebanyakan pelajar kursus ini mempunyai tanggungan pinjaman yang tinggi. Disebabkan itu mereka bertungkus-lumus untuk mengejar cita-cita menjadi juruterbang.

"Ada antara mereka yang sepatutnya sudah tamat kursus dan menyertai syarikat penerbangan tahun ini, tetapi ini tergendala disebabkan COVID-19.

"Namun, semua pihak dalam industri sudah mengeluarkan ramalan bahawa industri ini akan rancak semula bermula tahun hadapan," katanya menambah, pertumbuhan semula sektor pengangkutan udara di negara ini juga akan bermula dengan penerbangan domestik apabila larangan rentas negeri ditamatkan.

Azharuddin percaya, sektor penerbangan domestik mampu pulih mulai suku pertama 2021 dan terus pulih sepenuhnya menjelang akhir tahun hadapan.

Kira-kira 80 peratus pelatih akademi penerbangan dipercayai mengambil pinjaman peribadi dengan bank untuk membiayai latihan selama dua tahun.

Kesan penularan pandemik COVID-19 yang mula dikesan pada hujung tahun lalu menjejaskan banyak syarikat penerbangan seluruh dunia, termasuk Malaysia yang terpaksa melakukan pemberhentian pekerja, termasuk juruterbang.

Di negara kita, syarikat penerbangan AirAsia Bhd dan AirAsia X Bhd pada Oktober lalu mengesahkan terpaksa memberhentikan 10 peratus daripada keseluruhan 24,000 tenaga kerjanya.

Malindo Airways Sdn Bhd pula dilaporkan mengecilkan operasi dan terpaksa mengurangkan sehingga 2,200 pekerjanya.

Malaysian Aviation Group (MAG) yang juga syarikat induk Malaysia Airlines Bhd (MAB) termasuk anak syarikat perkhidmatan penyelenggaraannya melalui MAB Engineering, Firefly dan MASwings juga dilapor melaksanakan langkah mengurangkan gaji kakitangan untuk tempoh beberapa bulan sejak Mac lalu.

Langkah sama juga diambil syarikat berkaitan seperti MAB Kargo, AeroDarat Services Sdn Bhd, MAB Academy dan pajakan pesawat.

Situasi itu bermakna kemungkinan besar tiada langsung peluang menanti pelatih akademi itu sekurang-kurangnya sehingga 2022 memandangkan juruterbang berpengalaman ketika ini turut menerima nasib sama.

Berita Harian X