Jumaat, 25 Disember 2020 | 7:08pm
Awang beramah mesra dengan peserta Taklimat Skim Keselamatan Pekerja PERKESO, di Dewan Cenderawasih Majlis Daerah Pendang, di sini, hari ini.- Foto/Noorazura Abdul Rahman
Awang beramah mesra dengan peserta Taklimat Skim Keselamatan Pekerja PERKESO, di Dewan Cenderawasih Majlis Daerah Pendang, di sini, hari ini.- Foto/Noorazura Abdul Rahman

Skim Bencana Kerja PERKESO, pencarum terima bayaran

PENDANG: Seramai 25 pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang positif COVID-19 membabitkan tiga Kluster di Kedah menerima bayaran faedah di bawah Skim Bencana Kerja PERKESO baru-baru ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim, berkata kesemua pencarum terbabit dibayar sebanyak 90 peratus daripada gaji mereka mengikut jumlah hari mereka dirawat di hospital sehingga mereka disahkan negatif virus berkenaan.

"Seramai 25 pencarum ini layak menerima bayaran di bawah skim ini selepas siasatan mendapati mereka benar-benar dijangkiti COVID-19 di tempat kerja sahaja.

"Terdapat satu kes kita tolak berikutan pencarum itu tidak dijangkiti di tempat kerja manakala satu kes lagi dalam siasatan sebelum bayaran dibuat, kesemua kes ini adalah membabitkan Kluster Sungai, Kluster Telaga dan Kluster Tembok di Alor Setar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Taklimat Skim Keselamatan Pekerja PERKESO di Dewan Cenderawasih Majlis Daerah Pendang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Awang berkata bagi mengenal pasti skim terbabit dibayar kepada mereka yang layak, PERKESO bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan melakukan siasatan secara terperinci.

Dalam pada itu, Awang berkata lebih RM2 juta sudah dibayar kepada 579 penerima faedah di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dengan lebih separuh daripadanya adalah Faedah Hilang Upaya Sementara (HUS).

"Seramai 20 penerima adalah dari Kedah membabitkan jumlah bayaran lebih RM100,000 iaitu 99 peratus adalah bayaran HUS

"Faedah HUS dibayar kepada orang berinsurans bekerja sendiri (OBBS) sepanjang tempoh cuti sakit yang disahkan oleh doktor dan mestilah sekurang-kurangnya empat hari termasuk hari kemalangan," katanya

Awang turut memberitahu, sehingga kini hanya kira-kira dua peratus individu bekerja sendiri di seluruh negara mencarum dengan SKSPS.

Katanya, kementerian memandang berat hal ini dan menggesa agar golongan terbabit dapat mencarum dalam skim berkenaan untuk manfaat diri sendiri dan keluarga.

Berita Harian X