Jumaat, 25 Disember 2020 | 3:58pm

Lebih 10 kampung di Pengkalan Kubor masih digenangi air

TUMPAT: Sudah seminggu banjir melanda di lebih 10 kampung sekitar Pengkalan Kubor di sini dan limpahan air masih kelihatan di beberapa lokasi.

Tidak terkecuali laluan menuju ke Masjid As-Solihin, Kampung Bendang Pak Yong, di sini yang masih lagi digenangi air di paras 0.4 meter.

Rata-rata jemaah yang hadir untuk menunaikan solat Jumaat meredah limpahan air sejauh 200 meter sebelum tiba di perkarangan masjid.

Ada hanya meredah dengan berjalan kaki, berbasikal, memandu pacuan empat roda, malah ada mengambil risiko menunggang motosikal tanpa memikirkan kerosakan yang mungkin akan berlaku terhadap enjin itu nanti.

Imam Tua masjid itu, Anuar Daud berkata, air mulai melimpah ke beberapa kampung di sekitar antaranya Kampung Kubang Sawa, Kuala Jambu, Simpangan, Kajang Sebidang, Teluk Jering dan Bendang Pak Yong sendiri sejak petang Sabtu lalu dan menjelang malam, limpahannya semakin tinggi.

"Masjid ini tidak terkecuali dinaiki air dan limpahannya hampir mencecah satu meter dan hampir memasuki dalam masjid pada permulaan banjir lalu.

"Setiap hari saya akan datang ke masjid untuk meninjau paras air dan keadaan masjid kerana bimbang berlaku seperti banjir besar pada 2014, iaitu air memasuki masjid," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Anuar berkata, lazimnya kawasan kampung itu dinaiki air, jemaah masjid akan datang menunaikan solat Jumaat dengan menaiki bot dan pengangkutan itu akan diparkir berhampiran tangga.

Menurutnya banjir biasanya berlaku sehingga gelombang ketiga dan dalam tempoh itu pasti ada sekali solat Jumaat tidak dapat dilakukan berikutan jemaah tidak mencukupi bilangan disebabkan ada mangsa berpindah ke pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan banyak kawasan dinaiki air.

"Sejak dua hari lalu air mulai surut dan lega kerana perkarangan masjid sudah tiada limpahan air yang membolehkan solat Jumaat boleh berlangsung dengan baik hari ini," katanya sambil meluahkan syukur dengan pengumuman persetujuan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini untuk mempercepatkan pembinaan projek tebatan banjir bernilai RM1.5 bilion.

Selain Masjid As-Solihin, Masjid Kampung Kubang Sawa turut terjejas setiap kali berlaku banjir dan rumah ibadat itu akan menjadi seperti pulau kerana air memenuhi kawasan bendang padi di sekitarnya.

Penduduk Kampung Kajang Sebidang, Shahruddin Mohd Nor, 43, berkata kebiasaannya banjir termenung melanda di lebih 10 kampung itu akan surut sepenuhnya antara seminggu hingga tiga minggu berikutan tiada saliran keluar ke Sungai Golok.

"Walaupun sudah lali dengan situasi sebegini, kami tetap berasa terbeban terutama bagi penduduk kampung bekerja secara gaji harian kerana sukar untuk keluar ke tempat kerja.

"Setiap kali dilanda banjir, kami akan menaiki bot sama ada milik sendiri atau penambang meredah kawasan kampung dan bendang padi yang sudah seperti lautan untuk keluar bekerja," katanya.

Sebahagian jemaah yang hadir untuk menunaikan solat Jumaat meredah limpahan air, kira-kira sejauh 200 meter dengan berjalan kaki, berbasikal,sebelum tiba di perkarangan Masjid As-Solihin, Kampung Bendang Pak Yong, Kelantan.- Foto/Nik Abdullah Nik Omar
Sebahagian jemaah yang hadir untuk menunaikan solat Jumaat meredah limpahan air, kira-kira sejauh 200 meter dengan berjalan kaki, berbasikal,sebelum tiba di perkarangan Masjid As-Solihin, Kampung Bendang Pak Yong, Kelantan.- Foto/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X