Rabu, 23 Disember 2020 | 11:09pm
UIA rangkul lapan anugerah pendidikan antarabangsa. - Foto FB IIUM
UIA rangkul lapan anugerah pendidikan antarabangsa. - Foto FB IIUM

UIAM rangkul 8 anugerah projek inovatif pendidikan

KUALA LUMPUR: Pusat Kepakaran Serantau Pendidikan untuk Pembangunan Lestari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) (RCE Greater Gombak) meraih lapan anugerah Projek Inovatif Pendidikan dalam Pembangunan Lestari 2020.

Pencapaian itu diumumkan menerusi portal Global RCE Network pada Selasa.

UIAM dalam kenyataan hari ini berkata, anugerah itu mengiktiraf projek dan program yang menjadi penghubung antara masyarakat tempatan selain menjadi penghubung projek pembangunan lestari membabitkan pembelajaran, penyelidikan transformatif inisiatif menyumbang kepada penyelidikan dan pembangunan serta pengembangan keupayaan pelbagai pihak.

Anugerah berkenaan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu 'Outstanding Flagship Project, Acknowledged Flagship Project dan Honourable Mention'.

"Bagi kategori 'Outstanding Flagship Project', sebanyak dua projek menerima anugerah iaitu ''Change The World' dan 'Whole Community Transformation Through Feed to Educate'.

"Tiga projek di bawah kategori 'Acknowledged Flagship Project' menerima anugerah iaitu 'Mainstreaming SDGs-Society as Agent of Changes', 'Living in Fortuitous Era' dan 'Greater Gombak Animal Shelter Project'.

"Tiga projek di bawah kategori Honourable Mention' yang menerima anugerah ialah 'Jalinan Siswa Bersama Masyarakat Asli', 'Club Mentoring Enviro-Camp', 'IIUM 'Mental Health and Psychosocial Care Team' dan 'Capacity Building for Islam, Peace and Civilizational Development: Engaging Extremism, Terrorism and Conflict through Education for Sustainability (2019-2020)," kata kenyataan itu.

UIAM yang diisytiharkan sebagai RCE pada April lalu adalah jaringan kerjasama antara individu, masyarakat, pakar dan organisasi yang komited dalam membina masa hadapan lestari melalui pendidikan.

Rektor UIAM Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dalam kenyataan itu berkata, kejayaan diraih itu menyempurnakan slogan UIAM dengan mengaplikasi konsep khalifah, iqra, amanah dan rahmatan lil alamin selain menguatkan lagi semangat kerjasama berpasukan dalam bidang kepakaran. - BERNAMA

Berita Harian X