Rabu, 23 Disember 2020 | 1:11pm
Keratan laporan BH pada Isnin lalu.
Keratan laporan BH pada Isnin lalu.

Guna pelabuhan negara jiran transit bekalan

KUALA LUMPUR: Kartel yang menyeludup masuk daging import yang diragui status halalnya ke Malaysia dipercayai menggunakan negara jiran sebagai transit sebelum ia dibawa masuk secara terancang.

Selepas segala 'urusan' diselesaikan, terutama mendapatkan lori untuk membawa kontena terbabit ke negara ini, daging import itu dibawa masuk dengan mengisytiharkan kontena berkenaan kosong ketika pemeriksaan di sempadan.

Sumber berkata, apabila mendapat 'lampu hijau' daripada penguat kuasa, daging itu dimasukkan ke dalam kontena yang diisytiharkan kosong di sempadan kedua-dua negara, sebelum ia diedar ke pasaran tempatan.

Katanya, pergerakan dilakukan secara terancang dan dipercayai turut membabitkan pelbagai pihak, termasuk pegawai awam di sempadan kedua-dua negara yang dipercayai mendapat banyak keuntungan.

Sumber mendedahkan, lori kontena itu adalah dari Malaysia yang masuk ke negara jiran untuk penghantaran pelbagai jenis barangan lain.

"Apabila keluar dari negara jiran, kartel penyeludupan menggunakan kontena berkenaan untuk membawa masuk daging itu ke Malaysia.

"Apabila sudah mendapat lampu hijau daripada pihak tertentu, ia akan segera dibawa masuk.

"Kontena terbabit diisytiharkan kosong dan tidak ada sesiapa yang mengesyaki berlaku penyeludupan.

"Di kawasan pemeriksaan dekat sempadan, mereka mengisytiharkan kontena itu kosong dan tiada sesiapa mengesyaki penyeludupan berlaku, lebih-lebih lagi ada orang dalam terbabit aktiviti itu," katanya.

Sumber berkata, kebanyakan daging yang dibawa masuk ke negara ini dari negara Amerika Selatan dan biasanya jenis offal seperti organ dalaman haiwan iaitu hati, paru-paru dan perut.

"Namun, bahagian paling popular diseludup masuk adalah ekor lembu memandangkan ia mendapat permintaan tinggi di negara ini.

"Masyarakat di benua Amerika dan Eropah biasanya tidak menggemari daging jenis offal, namun ia menjadi hidangan digemari di Asia khususnya di Malaysia dan Indonesia. Ini menjadi punca daging itu dibawa masuk ke negara ini," katanya.

BH sejak Isnin lalu mendedahkan pembabitan kartel yang membawa masuk daging import diragui status halalnya untuk pasaran tempatan.

Kartel itu dipercayai turut menggunakan khidmat penjawat awam bagi memudahkan kerja penyeludupan.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung isu berkenaan.

Kertas siasatan yang dibuka SPRM Johor mengikut Seksyen 16 dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan siasatan akan memberi fokus kepada isu pemalsuan borang kastam 1, iaitu membabitkan pengisytiharan barangan import serta amalan rasuah dalam kalangan agensi yang bertanggungjawab.

Berita berkaitan:

  • Kerajaan hilang hasil RM1.5j sebulan
  • Isu kartel daging: Tak boleh salahkan JAKIM, JAIN
  • Penyeludupan daging beku berlaku di sempadan Kelantan, Sarawak - Bukit Aman
  • Berita Harian X