CHUKAI: Kepenatan ditanggung sepasang suami isteri mangsa banjir bagaikan hilang apabila dapat bersua Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meluangkan masa melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok di sini, hari ini.
Zalikur Omar, 63, dan suaminya, Shafie Mohamad, 65, dari Kampung Tanjung, Bukit Mentok, di sini teruja apabila dimaklumkan Perdana Menteri melawat mangsa banjir di PPS berkenaan.
Zalikur berkata, keletihan terpaksa berpindah ke PPS berkenaan sejak kelmarin berikutan kediaman dinaiki air, terubat apabila dapat berjumpa pemimpin nombor satu negara.
"Memang amat berbesar hati dan bangga sebab Perdana Menteri turun sendiri untuk mengambil tahu apa yang dialami rakyat seperti kami.
"Kepenatan berpindah terubat sebab dapat jumpa beliau," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Suaminya, Shafie, turut gembira kerana berpeluang bertemu Muhyiddin secara dekat buat kali kedua.
"Saya pernah jumpa beliau ketika banjir melanda kira-kira tujuh tahun lalu.
"Alhamdulillah, dapat jumpa lagi. Perdana Menteri memang ambil berat dengan apa yang rakyat hadapi dan sanggup turun ke PPS untuk bertanya khabar," katanya.