Ahad, 20 Disember 2020 | 7:28pm

Penduduk sedia pindah jika diarahkan

TUMPAT: Kira-kira 15,000 penduduk di lebih 10 kampung di Pengkalan Kubor di sini bersiap sedia untuk berpindah sekiranya diarahkan.

Tinjauan yang dilakukan di beberapa kampung antaranya Kampung Kubang Sawa, Naga Ibu, Pohon Nibong, Bendang Pak Yong dan Kuala Jambu mendapati, air semakin melimpah memasuki kawasan terbabit dan penduduk mungkin akan berpindah bila-bila masa.

Sejak berlaku limpahan air dari Sungai Golok bermula petang semalam, majoriti dalam kalangan penduduk sudah bersiap sedia, malah bagi penduduk kampung yang tidak terjejas, mereka sudah mengeluarkan bot masing-masing untuk membantu pemindahan mangsa sekiranya keadaan semakin buruk menjelang malam ini.

Bagi penduduk Kampung Pohon Nibong, Razali Isa, 63, setiap tahun dia akan menggunakan tiga botnya untuk membantu pihak berkuasa bagi proses memindahkan mangsa banjir yang terkepung di lebih 10 kampung itu.

"Saya sudah mengeluarkan semua bot ke tepi bendang yang seakan sungai kerana air sudah pun melimpah masuk dan menenggelamkan sawah padi.

"Bermula petang semalam, air sudah memasuki kawasan kampung sekitar dan sehingga petang tadi semakin berlaku peningkatan paras air dan saya jangkakan ia bertambah teruk menjelang malam ini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Penolong Penguasa Bomba Raja Arisan Raja Ismail turut meninjau beberapa lokasi banjir di pinggir Sungai Golok di Pengkalan Kubor.

Raja Arisan berkata, melihat kepada bacaan paras air yang dicatatkan di Sungai Golok, Pengkalan Kubor, ia menunjukkan peningkatan dan mungkin akan terus meningkat menjelang malam nanti.

Beliau menasihatkan, penduduk supaya berwaspada dan meminta penduduk memberi respon segera sekiranya diarahkan berpindah.

"Kita mengalu-alukan penduduk kampung yang ingin membantu pihak berkuasa memindahkan mangsa banjir tapi mereka perlu menitikberatkan keselamatan termasuk memakai jaket keselamatan.

"Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) juga perlu dipatuhi iaitu jika mangsa bukan dari yang sama, perlu dibuat penjarakan sosial dalam bot," katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Penolong Penguasa Bomba Raja Arisan Raja Ismail meninjau keadaan air banjir di Sungai Golok susulan gelombang kedua di sempadan Malaysia-Thailand di Pengkalan Pohon Nibong, Pengkalan Kubor. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Penolong Penguasa Bomba Raja Arisan Raja Ismail meninjau keadaan air banjir di Sungai Golok susulan gelombang kedua di sempadan Malaysia-Thailand di Pengkalan Pohon Nibong, Pengkalan Kubor. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X