Ahad, 20 Disember 2020 | 3:10pm
Kerajaan negeri digalak memanfaatkan hutan untuk menambah pendapatan tanpa menebang balak, khususnya di kawasan tadahan air. - Foto fail NSTP
Kerajaan negeri digalak memanfaatkan hutan untuk menambah pendapatan tanpa menebang balak, khususnya di kawasan tadahan air. - Foto fail NSTP

'Cari jalan lain tambah pendapatan negeri, bukan tebang balak' - Shamsul Anuar

LENGGONG: Kerajaan negeri digalak memanfaatkan hutan untuk menambah pendapatan tanpa menebang balak, khususnya di kawasan tadahan air.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata pengambilan balak bukan satu-satunya cara untuk menambah pendapatan negeri kerana banyak kaedah lain boleh dilakukan yang dapat menjamin hutan simpan terpelihara dengan baik.

Katanya, pengambilan balak hanya akan merosakkan hutan, menjejaskan sumber asli, mengganggu habitat hidupan liar dan mencemarkan kawasan tadahan air.

"Kerajaan negeri digalak tidak payahlah tebang balak, tapi guna hutan itu dengan pelbagai cara lain untuk menambah pendapatan. Di Lenggong, Hutan Lipur Lata Kekabu misalnya, kita beri peruntukan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNP) untuk membangunkannya menjadi kawasan pelancongan agro.

"Ia bagi menarik kunjungan orang ramai seperti Langkawi," katanya yang juga Ahli Parlimen Lenggong ketika berucap pada majlis bersama penduduk Kampung Luat, dekat sini, malam tadi.

MENTERI Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah yang juga Ahli Parlimen Lenggong menyampaikan bantuan beras kepada penduduk Kampung Luat, Lenggong malam tadi. - Foto Mohd Rashidi Yusuf
MENTERI Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah yang juga Ahli Parlimen Lenggong menyampaikan bantuan beras kepada penduduk Kampung Luat, Lenggong malam tadi. - Foto Mohd Rashidi Yusuf

Pada program itu, lebih 200 keluarga penduduk Kampung Laut diberi bantuan barangan keperluan bari meringankan beban mereka akibat penularan pandemik Covid-19.

Shamsul Anuar menyarankan supaya hutan simpan dijaga dan dipelihara dengan baik, lebih-lebih lagi kawasan seperti di Lenggong yang kaya dengan keindahan alam semula jadi yang berpotensi menarik kunjungan pelancong.

Katanya, tarikan di Lembah Lenggong yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO akan bertambah apabila 'Georpark' Kebangsaan dibina pada Julai tahun depan dan akan menjadi seperti Georpark Global seperti Langkawi pada 2025, sekali gus perlu dijaga keasliannya.

Justeru, beliau sama sekali tidak mahu sebarang aktiviti pembalakan dilakukan di hutan simpan di daerah Lenggong, termasuk Hutan Simpan Piah, lebih-lebih lagi yang membabitkan kawasan tadahan air.

Mengenai cadangan pembalakan di Hutan Simpan Piah yang membabitkan beberapa kampung di seberang Sungai Perak, khususnya di kawasan tadahan air bagi penduduk Kampung Laut, Shamsul Anuar berkata, beliau sudah mengarahkan JPNP tidak meneruskan cadangan pengambilan balak di kawasan berkenaan.

"Walaupun isu berkenaan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, saya boleh memberikan beberapa saranan dan berharap supaya aktiviti pembalakan, khususnya di kawasan tadahan air seluas 400 hektar di Hutan Simpan Piah yang menjadi isu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tidak dilakukan.

"Saya sudah minta pengarah JPNP keluarkan surat pembatalan rancangan pembalakan yang dikatakan mahu dibangunkan sebagai ladang hutan seluas 400 hektar itu dan JPNP telah keluarkan. Kalau nak jadikan ladang hutan juga, tukar kawasan lain, jangan ambil balak di Hutan Simpan Piah.

"Saya mahu kawasan Hutan Simpan Piah dijaga dan dipelihara," katanya menambah, beliau bersama Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad dan EXCO kerajaan negeri, Razman Zakaria yang semuanya berasal dari Lenggong, yakin isu berkenaan dapat diselesaikan.

Berita Harian X