Ahad, 13 Disember 2020 | 3:03pm
Kerajaan wajar menetapkan gaji minimum yang lebih tinggi atau setara dengan permintaan bagi graduan bidang TVET. - Foto hiasan
Kerajaan wajar menetapkan gaji minimum yang lebih tinggi atau setara dengan permintaan bagi graduan bidang TVET. - Foto hiasan

Kerajaan perlu tetap gaji minimum lepasan TVET

KUALA LUMPUR: Kerajaan wajar menetapkan gaji minimum yang lebih tinggi atau setara dengan permintaan bagi graduan bidang pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat, berkata langkah itu boleh menyelesaikan isu majikan atau industri mengambil kesempatan menawarkan gaji rendah sedangkan pekerja menanggung beban kerja tinggi sehingga tidak berbaloi dengan kelayakan.

Atas faktor itu, katanya, ramai anak muda lebih gemar memilih bidang kerja e-hailing seperti Grab dan foodpanda kerana pendapatan boleh mencecah RM3,000 hingga RM4,000 sebulan.

"Selain menetapkan gaji minimum, peluang pekerjaan ini perlu diperbanyakkan. Kita tidak mahu lulusan TVET menjadi lambakan di pasaran berikutan tiada permintaan sehingga wujud keadaan ramai graduan tetapi tiada sokongan industri.

Presiden CUEPACS, Adnan Mat
Presiden CUEPACS, Adnan Mat

"Justeru, kerajaan perlu menyokong industri yang memerlukan kepakaran lulusan TVET supaya ia boleh berkembang," katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dilaporkan berkata, sebanyak 60 peratus kepada 1.5 juta pekerjaan yang diwujudkan dalam masa terdekat, dijangka memerlukan kelayakan TVET.

Sehubungan itu katanya, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM1 bilion menerusi Belanjawan 2021 bagi meningkatkan program kemahiran dan latihan semula.

Adnan berkata, kerajaan wajar menyediakan insentif kepada industri yang menggajikan graduan tempatan, manakala yang tidak berbuat demikian disyor dikenakan pelbagai syarat dan cukai tambahan, sekali gus menggambarkan keseriusan memperkasakan graduan TVET.

Beliau berkata, kelayakan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) juga perlu dikuatkuasakan di semua jabatan supaya lulusan itu mendapat pengiktirafan sama, sekali gus selari dengan kemahiran ditingkatkan selaras Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

"Bagi menyokong keperluan dan memenuhi IR4.0, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan DKM harus diterima pakai sepenuhnya setanding kelayakan lulusan kolej komuniti yang boleh memasuki perkhidmatan awam sekurang-kurangnya Gred J29.

"Graduan berkemahiran ini sudah bersedia termasuk menjadi tenaga pengajar berikutan mempunyai kemahiran mendidik, selain memiliki pengalaman sebenar di tempat kerja, iaitu di lokasi sebenar.

"Mereka boleh bekerja di sektor kerajaan, swasta dan syarikat berkaitan kerajaan," katanya.

Mengulas isu sama, Pengerusi GiatMARA, Datuk Abdul Halim Mansor, berkata kebanyakan industri tidak mengiktiraf lulusan institut kemahiran, malah lebih cenderung mengambil buruh asing tanpa pensijilan kerana gaji dibayar lebih rendah.

"Ini berlaku dalam banyak industri yang mana lulusan institut kemahiran tidak diiktiraf dan ditempatkan dalam skop teknikal kerana industri hanya mengiktiraf graduan tertentu seperti kejuruteraan, elektrik, pendawaian, rumah dandang dan tidak menggaji pekerja ikut kelulusan.

"Pelajar TVET perlu diterap dengan kemahiran sebenar dan diberi kursus tambahan kerana pembelajaran akademik sahaja tidak mencukupi.

"Justeru, adalah lebih baik universiti awam mengadakan usaha sama dengan institut kemahiran untuk memperkasakan graduannya," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan graduan hanya mempunyai kelulusan akademik tetapi tiada kemahiran hingga terdorong meneroka bidang keusahawanan apabila tidak berjaya menempatkan diri dalam industri.

Katanya, ramai lepasan pusat pengajian tinggi swasta memasuki pasaran kerja kerana mereka banyak menjalani program usaha sama dengan GiatMARA sejak 2018, sekali gus pelajar menimba pengalaman sebenar industri, menjalani praktikal dan lain-lain.

"Daripada kualiti kursus ini, graduan TVET lebih bersedia menghadapi IR4.0, berdaya saing, berkemahiran tinggi dan ini akan mengurangkan kebergantungan tenaga kerja asing kerana pekerja tempatan mempunyai asas kemahiran diperlukan industri," katanya.

Ketika ini pelajar, lulusan TVET memasuki perkhidmatan kerajaan dengan Gred J19 (Sijil Pelajaran Malaysia) dan CUEPACS mahu mereka digaji mengikut J29 iaitu gaji kelayakan diploma.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Gabungan Institut Latihan Kemahiran Swasta (Bumiputera), Nordin Abdul Malek, berkata kerajaan perlu memandang serius usaha mempertingkatkan kaedah pengurusan dan kualiti latihan TVET di seluruh negara.

"Dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, sektor pekerjaan ini dimonopoli pekerja asing berikutan perancangan dalam latihan TVET tidak jelas, peranan bertindan menyebabkan tiada kawalan dan pengawasan agensi tunggal.

"Ia meningkatkan kos pengurusan berbanding pembangunan infrastruktur dan kaedah pembiayaan pinjaman latihan kemahiran itu.

"Berikutan itu, kita masih di takuk lama, jumlah dilatih setiap tahun tidak mencapai jumlah membanggakan disebabkan tiada penekanan latihan dan pendidikan berasaskan TVET sebagai sumber tenaga utama di negara kerana kita masih berorientasikan pencapaian akademik," katanya.

Berita Harian X