Rabu, 9 Disember 2020 | 7:39pm

MAEPS Serdang diaktifkan kembali sebagai Pusat Kuarantin COVID-19

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk mengaktifkan Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) atau MAEPS 2.0 bermula hari ini.

Keputusan untuk mengaktifkan PKRC MAEPS 2.0 secara segera ini berikutan peningkatan kes COVID-19 secara mendadak dengan pelaksanaan program saringan pekerja asing oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata skop operasi di MAEPS 2.0 ini adalah membabitkan pesakit COVID-19 kategori satu iaitu tanpa gejala dan kategori dua membabitkan pesakit gejala ringan.

"PKRC ini hanya akan menempatkan pesakit bukan warganegara sahaja dan ia membabitkan pemindahan pesakit COVID-19 bukan warganegara dari Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sungai Buloh.

"Berbanding hanya 604 katil sebelum ini semasa MAEPS 1.0, ketersediaan katil di PKRC MAEPS 2.0 adalah dengan anggaran sebanyak 10,000 katil berdasarkan tiga fasa," katanya dalam sidang media harian COVID-19 hari ini.

MAEPS kali pertama diaktifkan sebagai PKRC pada 16 April dan ditutup 15 Julai lalu.

Ismail Sabri berkata Fasa Satu adalah membabitkan penggunaan 3,000 katil, Fasa Dua akan membabitkan 3,300 katil dan Fasa Tiga membabitkan penggunaan 3,700 katil.

"Memandangkan PKRC MAEPS 2.0 akan menempatkan warga asing dalam jumlah kapasiti yang tinggi, aspek keselamatan akan dipertingkatkan lagi oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Kerajaan mengaktifkan Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) atau MAEPS 2.0. - Foto fail NSTP/ Mohamad Shahril Badri Saali
Kerajaan mengaktifkan Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) atau MAEPS 2.0. - Foto fail NSTP/ Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X