Isnin, 7 Disember 2020 | 11:21am

Penarafan turun bukan disebabkan faktor dalaman negara

KUALA LUMPUR: Penurunan Penarafan Kemungkiran Penerbit (IDR) mata wang asing jangka panjang Malaysia oleh Fitch Ratings bukan disebabkan faktor ekonomi dalaman negara.

Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah, berkata ini kerana banyak petunjuk seperti kedudukan Malaysia antara negara paling berdaya saing di rantau ini menduduki tempat ke-12 dalam laporan Menjalankan Perniagaan.

Selain itu, katanya, kerajaan pada 2019 menganggarkan harga minyak dunia berada pada paras AS$60 setong, namun ia turun pada paras AS$40 setong berikutan kesan pandemik COVID-19.

Katanya, defisit fiskal negara juga mengunjurkan berada pada tahap 3.2 peratus berikutan ketidaktentuan yang berlaku ketika itu.

"Belanjawan 2020 yang dibentangkan sebaliknya mengunjurkan defisit fiskal negara berada pada tahap 3.4 peratus.

"Berbalik kepada soalan Yang Berhormat, krisis ini bukan disebabkan faktor ekonomi dalaman negara berdasarkan beberapa elemen yang menyumbang kepada peningkatan prestasi.

"Ia bukan sebenarnya menunjukkan penurunan daripada dari 'A-' kepada 'BBB+' seperti disebutkan bukan disebabkan faktor ekonomi dalaman," katanya pada sesi jawab lisan, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) mengenai keputusan Fitch Ratings untuk menyemak turun IDR mata wang asing jangka panjang Malaysia kepada BBB+, dipercayai berikutan ketidakstabilan kerajaan Malaysia, selain kemungkinan untuk mengenakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Pada 4 Disember lalu, Fitch Ratings umumkan ia menyemak turun IDR mata wang asing jangka panjang Malaysia kepada 'BBB+' dari 'A-'.

Agensi penarafan itu berkata penurunan nilai IDR disebabkan krisis COVID-19 yang telah menjejaskan beberapa kredit metrik utama Malaysia termasuk langkah kerajaan menangani pandemik dengan bantuan kewangan kepada rakyat dan perniagaan yang meningkatkan bebanan fiskal.

Katanya, metrik hutang kerajaan juga telah merosot disebabkan wabak berkenaan sekali gus dijangka melonjak hutang kerajaan kepada 76 peratus daripada Keluaran Dalam Negara kasar (KDNK) 2020 berbanding 65.2 peratus pada 2019.

Agensi penarafan antarabangsa itu turut menjelaskan metrik hutang kerajaan juga didapati merosot disebabkan wabak berkenaan, sekali gus dijangka melonjak hutang kerajaan kepada 76 peratus daripada Keluaran Dalam Negara kasar (KDNK) 2020 berbanding 65.2 peratus pada 2019.

Mohd Shahar menegaskan pelaksanaan semula GST yang dimansuhkan, berkuat kuasa 1 Jun 2018 lalu bukan 'pilihan terkini' yang sedang diperhalusi oleh kerajaan untuk mempelbagaikan punca pendapatan negara.

Beliau sebaliknya menjelaskan kerajaan ketika ini masih mengkaji semua punca pendapatan lain yang berupaya diperkenalkan di Malaysia.

Katanya, usaha sedemikian turut terarah kepada memperkasa peranan pihak berkuasa bagi mengurangkan ketirisan perbelanjaan kerajaan, sekali gus berupaya mengoptimumkan sumber yang terhad.

"Apabila ketirisan dapat dikurangkan, ia boleh menyumbang kepada pendapatan negara.

"Kita juga akan tingkatkan kecekapan aspek urus tadbir negara supaya setiap sumber dibelanjakan mengikut keperluan dan sampai ke golongan sasar," katanya.

Berita Harian X