Khamis, 3 Disember 2020 | 9:57pm
 Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor
Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor

Bubar DUN Sabah: Ketua Menteri, 32 individu fail notis penarikan permohonan merayu

PUTRAJAYA: Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor dan 32 individu lain menarik balik permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar persetujuan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), Julai lalu.

Menerusi kenyataan media, Tetuan F.T. Ahmad & Co, yang mewakili Hajiji dan 32 individu memaklumkan, notis penarikan balik permohonan itu difailkan di Mahkamah Persekutuan hari ini melalui sistem e-filing.

Firma guaman itu mengesahkan bahawa mereka menerima arahan daripada Hajiji untuk menarik balik notis usul rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

"Anak guam kami kekal dengan pendirian bahawa pembubaran DUN Sabah adalah salah dari aspek Perlembagaan negeri Sabah dan atas alasan bimbang dengan penularan pandemik COVID-19.

"Bagaimanapun, kami telah menasihati mereka bahawa memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berlangsung baru-baru ini dan penularan COVID-19, lebih baik permohonan itu ditarik balik atas kepentingan semua pihak," kata peguam Wilson Chang Khai Sim yang bertindak bagi pihak pemohon.

Beliau berkata berikutan PRN Sabah yang berlangsung 26 September lalu, ramai daripada 33 pemohon dalam kes itu dipilih semula sebagai anggota DUN atau kini memegang jawatan EXCO dalam kerajaan negeri.

"Difahamkan bahawa kerajaan Sabah akan mengkaji dan merangka prosedur yang jelas dan nyata yang akan digunakan jika DUN Sabah dibubarkan pada masa akan datang," katanya.

Kesemua 33 pemohon termasuk bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman pada 10 September lalu memfailkan permohonan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Pemohon memohon kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi mencabar keputusan Tun Juhar.

Bagaimanapun, permohonan mereka ditolak oleh Mahkamah Tinggi.

Pada 8 September, Mahkamah Rayuan turut menolak permohonan mereka dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi. Berikutan keputusan Mahkamah Rayuan itu, PRN Sabah diteruskan.

Kesemua pemohon pada 29 Julai mendakwa mereka mempunyai majoriti dalam DUN dan mahu Tun Juhar membenarkan mereka mengangkat sumpah bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu, sekali gus menggulingkan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika itu. – BERNAMA

Berita Harian X