Khamis, 3 Disember 2020 | 12:29pm
Seorang peserta Projek Tanaman Jagung Manis Berkelompok, Mazili Othman membaja pokok jagung manis di Kampung Keladang, Kota Bharu.- foto BERNAMA
Seorang peserta Projek Tanaman Jagung Manis Berkelompok, Mazili Othman membaja pokok jagung manis di Kampung Keladang, Kota Bharu.- foto BERNAMA

MAFI kenal pasti hala tuju baharu sektor pertanian

KUALA LUMPUR: Negara berupaya menghasilkan hampir semua bahan makanan asas yang diperlukan rakyat, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I (MAFI), Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Katanya, antara bahan asas makanan itu adalah beras, sayur-sayuran, buah-buahan, daging ayam, itik, daging lembu dan kerbau, telur ayam dan itik, susu segar dan ikan.

"Kadar pengeluaran makanan negara membabitkan tahap sara diri (SSL) bagi buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan melebihi 100 peratus.

"Kadar SSL bagi daging ayam, itik, telur ayam, telur itik dan ikan pula melebihi 90 peratus," katanya menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) yang ingin mengetahui tahap keupayaan negara dalam menjamin bekalan makanan negara tidak terputus.

Ahmad menjelaskan beberapa bahan makanan lain seperti daging lembu, beras, sayur-sayuran dan buah-buahan beriklim sederhana seperti kubis, bawang, epal dan oren, negara masih bergantung kepada import bagi memenuhi keperluan domestik.

Justeru, bagi memastikan keupayaan negara menjamin bekalan makanan secara berterusan, kementerian mengenal pasti beberapa haja tuju baharu dalam sektor pertanian termasuk industri padi, tanaman, ternakan dan perikanan bagi tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) untuk tempoh lima tahun akan datang (2021-2025).

Beliau menjelaskan hala tuju itu adalah mengoptimumkan penggunaan tanah, meningkatkan aplikasi teknologi moden dan membangunkan varieti yang berkualiti bagi industri padi.

Kementerian juga katanya mahu membangunkan komoditi sayur-sayuran dan buah-buahan yang bernilai tinggi untuk tujuan domestik dan eksport bagi industri tanaman.

Usaha pengeluaran daging dan susu akan dipertingkatkan melalui penubuhan Lembaga Ruminan Negara bagi industri ternakan dan meningkatkan pengeluaran susu melalui Projek Rintis Tenusu di lima buah Lembah Tenusu.

Katanya, untuk mengoptimumkan penggunaan sumber ternakan bagi meningkatkan pengeluaran daging dan susu negara, konsep ekonomi kitaran akan diperkenalkan kepada penternak ruminan.

Pada masa sama kementerian akan memperkukuh pengurusan dan penguatkuasaan serta menambahbaik infrastruktur dan kemudahan bagi industri perikanan.

"Beberapa langkah yang akan terus dilaksana dan dipergiatkan oleh MAFI bagi memastikan kelestarian rantaian bekalan makanan terjamin," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan Nazlan mengenai cabaran MAFI meningkatkan bekalan daging dan cabaran yang dihadapi mengelakkan kebergantungan pengimportan, Ahmad menjelaskan cabaran terbesar adalah saingan harga dan bekalan.

Ketiadaan padang ragut dan persaingan harga daging import juga adalah cabaran yang dihadapi kerajaan untuk sektor ruminan negara.

Berita Harian X