Rabu, 2 Disember 2020 | 6:10pm
Pekerja di Projek Solar Berskala Besar (LSS) pertama negara yang terbesar di Malaysia yang dibangunkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kuala Langat, Selangor.​ - Foto hiasan TNB
Pekerja di Projek Solar Berskala Besar (LSS) pertama negara yang terbesar di Malaysia yang dibangunkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kuala Langat, Selangor.​ - Foto hiasan TNB

Skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) diumumkan tak lama lagi

KUALA LUMPUR: Maklumat mengenai Skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) akan diumumkan dalam tempoh terdekat, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 bagi Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

Skim NEM 3.0 itu dibangkitkan beberapa Ahli Parlimen antaranya Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) dan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut), yang ingin mengetahui langkah menyediakan program baharu bagi NEM 3.0 serta kesediaan kerajaan mempertimbangkan untuk memberi kuota khusus NEM bagi setiap negeri.

Skim NEM ialah inisiatif solar photovoltaic (PV) oleh kementerian untuk menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.

Terdahulu, Yeo Bee Yin (PH-Bakri) dalam perbahasan meminta kerajaan menyediakan rancangan bagi kuota baharu NEM untuk lima tahun akan datang supaya pemain industri solar bersiap sedia.

"Sebelum pembaharuan, hanya 16 Megawatt (MW) kuota diambil pemain industri solar, (tetapi) selepas pembaharuan polisi (NEM), kita lihat ia meningkat lebih 20 kali ganda dan sekarang kuota NEM hampir habis.

"Saya setuju Jerantut (Ahmad Nazlan) dan Sibuti (Lukanisman) bahawa kerajaan patut beri kuota baharu NEM untuk (membantu) pertumbuhan industri solar. Industri solar atas bumbung memberi banyak peluang pekerjaan seperti jurutera, juruelektrik," katanya.

Berita Harian X