Rabu, 2 Disember 2020 | 12:15pm

Dewan Rakyat: Speaker putuskan perlakuan tunjuk 'jari tengah' tak jelas

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memutuskan beliau tidak dapat memastikan kejadian menunjukkan 'jari tengah' oleh Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan Komoditi, Willie Mongin, semalam.

Beliau berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) perlakuan seperti didakwa itu tidak jelas.

"Justeru, saya tidak pasti sama ada ia berlaku atau tidak, dan semalam saya juga ada pertemuan dengan Timbalan Menteri dan beliau menafikan sekeras-kerasnya," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab usul yang dikemukakan Khoo Poay Ting (PH-Kota Melaka) yang ingin mengetahui keputusan Azhar berkaitan perkara itu.

Poay Ting mengemukakan usul untuk mengetahui sama ada keputusan yang dibuat Azhar semalam adalah muktamad.

Azhar memaklumkan beliau tidak membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu semalam kerana beliau tidak melihat kejadian itu kerana ada masalah penglihatan.

Katanya, beliau sudah melihat video itu banyak kali, malah secara 'slow motion' (gerak perlahan) tetapi beliau tidak dapat pastikan sama ada ia benar-benar berlaku atau tidak.

"Keputusan saya ialah tidak dapat pastikan sama ada perkara itu berlaku jadi saya memohon sesiapa yang tidak gembira dengan perbuatan yang dituduh dilakukan itu memfailkan satu usul dan saya rasa biarlah Timbalan Menteri membela dirinya di hadapan jawatankuasa.

Poay Ting juga menyatakan beliau mahu mengemukakan video yang lebih jelas mengenai perlakuan menunjukkan 'jari tengah' kepada Speaker Dewan Rakyat.

Azhar berkata, beliau bersedia dan mahu Poay Ting mengemukakan video itu kepada beliau selepas persidangan Dewan Rakyat.

"Terima kasih Kota Melaka, saya jemput ke kamar saya untuk kemukakan video berkenaan," katanya.

Menjawab celah Datin Dr Tan Yee Kew (PH-Wangsa Maju) yang mengakui paling jelas melihat perlakuan tidak sopan itu, Azhar menegaskan beliau sudah membuat keputusan dan tidak memerlukan keterangan saksi.

Dalam perkembangan sama, Lim Lip Eng (PH-Kepong) meminta Speaker menggunakan keterangan saksi kejadian dan tidak bergantung semata-mata kepada bukti CCTV sebagaimana dilaksanakan di mahkamah.

Azhar menyatakan tidak perlu dan beliau sudah membuat keputusan dan mahu melihat dahulu video yang bakal dikemukakan Ahli Parlimen Kota Melaka.

Mengenai cadangan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) supaya rakaman CCTV itu ditayangkan semula di Dewan Rakyat, Azhar menyatakan perkara itu tidak perlu.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Berita Harian X