Rabu, 2 Disember 2020 | 10:24am
Program isolasi yang dilaksanakan oleh Kerajaan Selangor di bahagian kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bertujuan mengekang penularan wabak antara pekerja di lapangan terbang terutamanya dalam kalangan bukan warganegara. -Foto fail NSTP
Program isolasi yang dilaksanakan oleh Kerajaan Selangor di bahagian kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bertujuan mengekang penularan wabak antara pekerja di lapangan terbang terutamanya dalam kalangan bukan warganegara. -Foto fail NSTP

Selangor laksana program isolasi pekerja warga asing di kargo KLIA

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor melaksanakan program isolasi terhadap 247 pekerja bukan warganegara di bahagian kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak 26 November lalu.

Program berkenaan akan berlangsung selama 14 hari sehingga 9 Disember ini dengan mengambil kira tempoh inkubasi.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata program inisiatif kerajaan negeri dan agensi berkaitan itu dilaksanakan untuk membantu dalam mengekang penularan wabak antara pekerja-pekerja di lapangan terbang terutamanya dalam kalangan bukan warganegara.

"Sebanyak empat syarikat sudah mengambil bahagian dalam siri pertama program ini dengan membabitkan seramai 231 pekerja lelaki dan 16 pekerja wanita daripada Bangladesh, Nepal, India, Indonesia dan Pakistan. Kesemua pekerja ini ditempatkan di Tune Hotel Aeropolis.

"Saringan pertama sudah dilaksanakan ke atas semua peserta program sekurang-kurangnya tiga hari sebelum peserta menyertai program ini dan kos saringan ditanggung oleh pihak syarikat manakala bagi penempatan peserta, kerajaan negeri akan menanggung separuh daripada kos berkenaan," katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, sehingga kini, sejumlah 11,000 orang bekerja di bahagian kargo dan seramai 9,056 (82%) individu warganegara serta bukan warganegara) sudah menjalani ujian saringan COVID-19 sejak Oktober sehingga semalam.

Katanya, daripada jumlah berkenaan hanya tujuh individu dalam kalangan pekerja di kargo dan warganegara dikesan positif COVID-19 sejak 26 November lalu.

Dalam pada itu, Amirudin berkata pihaknya turut mengarahkan Jawatankuasa Keselamatan Daerah, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah untuk membuat penyelarasan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) agar saringan pekerja asing dilakukan dengan kadar segera seperti yang diputuskan oleh kerajaan Persekutuan.

"Kita juga sedang mengenalpasti kira-kira lima lokaliti bagi menempatkan Pusat Rawatan dan Kuarantin Berisiko Rendah yang akan menempatkan pesakit-pesakit positif COVID-19 yang tidak bergejala (asymptomatic) dan ini dilaksanakan bagi mengurangkan bebanan dan kepadatan hospital COVID-19 sedia ada.

"Selain itu, kerajaan negeri ingin mengambil kesempatan ini untuk memaklumkan pada orang ramai bahawa keadaan masih terkawal di Selangor walaupun jumlah kes COVID-19 yang tinggi kerana kes terbaharu tersebut didapati di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan kita percaya bahawa pelaksanaan itu akan dapat mengurangkan risiko perebakan wabak berkenaan," katanya.

Berita Harian X