Selasa, 1 Disember 2020 | 11:45pm
Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PN hari ini. Gambar dari Facebook rasmi Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PN hari ini. Gambar dari Facebook rasmi Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Majlis Tertinggi PN bincang persiapan PRU-15

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang antara lain menyentuh beberapa perkara penting termasuk persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri dalam catatan di laman Facebooknya, berkata mesyuarat berkenaan turut membincangkan dan mempersetujui untuk memperkemaskan gabungan parti anggota PN, memperkukuhkan kerjasama dengan parti dalam kerajaan pimpinan PN serta melaksanakan program segera bagi memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara.

"Majlis Tertinggi PN terus komited untuk menzahirkan aspirasi kerajaan dan rakyat seluruhnya," katanya.

Katanya, mesyuarat itu dihadiri Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee; Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan semua ahli Majlis Tertinggi lain.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU berkata, beliau mengadakan perbincangan dengan Abdul Hadi dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam mengenai usaha memperkukuhkan hubungan kerjasama antara ketiga-tiga parti terbabit. - BERNAMA

Berita Harian X