Selasa, 1 Disember 2020 | 8:05pm
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal. FOTO NSTP
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal. FOTO NSTP

Pendakwah selebriti ditahan rogol guru

KUALA LUMPUR: Bermula dengan keluar makan malam untuk menyambut hari lahir, seorang guru wanita akhirnya menjadi mangsa rogol seorang lelaki yang juga dikenali sebagai pendakwah selebriti.

Lelaki berkenaan sebelum ini ditahan dan direman kerana dipercayai merogol seorang wanita pada tahun lalu.

Dalam kejadian 22 Oktober lalu itu, mangsa berusia 22 tahun yang juga seorang guru di sebuah sekolah di Lembah Klang diajak keluar makan malam oleh suspek untuk menyambut hari lahirnya di sebuah restoran di Petaling Jaya, kira-kira jam 9 malam.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata selepas selesai makan, suspek dikatakan mengajak mangsa ke sebuah rumah di Damansara Perdana.

"Pada mulanya mangsa enggan mengikut kehendak suspek tetapi selepas dipujuk dan dipaksa, mangsa akhirnya akur.

"Ketika di rumah suspek, mangsa kemudian dirogol suspek dan pada keesokan harinya, suspek menghantar mangsa balik ke rumahnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, katanya mangsa turut diugut supaya tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa sehingga menyebabkan wanita itu mengalami tekanan perasaan dan trauma.

"Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis semalam di Balai Polis Damansara dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (rogol).

"Kelmarin kita turut menerima satu laporan polis ke atas suspek untuk siasatan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan (melakukan seks luar tabii) dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan (mencabul)," katanya.

Terdahulu, BH melaporkan reman pendakwah selebriti berusia 25 tahun yang ditahan Jumaat lalu berhubung dakwaan merogol seorang gadis dilanjutkan lagi lima hari hingga Ahad ini.

Suspek ditahan jam 11 malam selepas tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

Suspek ditahan selepas mangsa membuat laporan polis mengenai kejadian berkenaan sekitar jam 7.18 malam hari sama.

Difahamkan, mangsa yang berusia 23 tahun dirogol selepas keluar dengan suspek yang dikenali menerusi media sosial kira-kira jam 8 malam pada 11 September tahun lalu.

Susulan itu, suspek direman lima hari sehingga esok namun reman disambung disebabkan beberapa laporan polis baru terhadapnya.

Sementara itu, Pergarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dalam sidang media di Bukit Aman hari ini, memaklumkan polis menerima tujuh laporan polis terhadap suspek dengan dua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu rogol.

"Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan iaitu melakukan seks luar tabii dan Seksyen 354 kanun sama iaitu mencabul.

"Polis turut membuka tiga lagi kertas siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (mencabul) dan satu lagi laporan polis diklasifikasikan sebagai NFA (tiada tindakan lanjut) kerana tiada unsur gangguan seksual," kata beliau.

Berita Harian X