Selasa, 1 Disember 2020 | 7:27pm
NORIHAN dibawa kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.
NORIHAN dibawa kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Sarjan Norihan sudah boleh berjalan

GEORGETOWN: Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Sarjan Norihan Tari, 39, yang terselamat dalam kejadian tembak ketika bertugas di Pos Sempadan Malaysia-Thailand minggu lalu sudah boleh berjalan dengan bantuan 'walker frame'.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan, berkata keadaan kesihatan anggota PGA itu setiap hari menunjukkan perkembangan amat baik selepas menjalani pembedahan membuang dua daripada tiga peluru dalam badannya di Hospital Pulau Pinang (HPP).

"Perkembangan Sarjan Norihan sangat baik, apabila beliau boleh bernafas tanpa alat bantuan pernafasan.

"Dalam pada itu, beliau juga boleh minum dan makan makanan lembut selain sudah boleh berjalan dengan bantuan walker frame," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kelmarin, anggota Batalion 3 (Senoi Praaq), Briged Utara, PGA berkenaan dipindahkan ke wad biasa selepas empat hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP.

Norihan sebelum itu mendapat mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menyerahkan watikah dan surat penghargaan.

Dalam kejadian jam 3.10 pagi, 24 November lalu, Norihan dan seorang lagi anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkena tembakan ketika bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar, Perlis.

Bagaimanapun, Baharuddin maut di tempat kejadian selepas ditembak pada bahagian kiri perut.

Norihan pula cedera parah selepas berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup di lokasi kejadian iaitu kira-kira 600 meter dari pos kawalan tempat mereka bertugas.

Baharuddin dan Norihan yang terbabit dalam pengumpulan maklumat, terserempak dengan kira-kira 13 penyeludup sebelum berlakunya insiden berbalas tembakan itu.

Berita Harian X