Isnin, 30 November 2020 | 9:09pm
Saringan COVID-19 pekerja asing akan menumpukan pekerja kilang di kawasan berisiko tinggi. - Foto NSTP/Aswadi Alias.
Saringan COVID-19 pekerja asing akan menumpukan pekerja kilang di kawasan berisiko tinggi. - Foto NSTP/Aswadi Alias.

Saringan COVID-19 tumpu pekerja kilang kawasan berisiko tinggi

KUALA LUMPUR: Ujian saringan COVID-19 ke atas pekerja asing bermula esok, akan menumpukan kepada pekerja kilang di kawasan berisiko tinggi di beberapa negeri di kenal pasti.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata antara negeri terbabit termasuk Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Labuan, Pulau Pinang dan Sabah.

Beliau berkata, bagi syarikat dikenal pasti oleh Kementerian Sumber Manusia, majikan dikehendaki melaksanakan beberapa perkara termasuk menyediakan stesen kuarantin (QS) dan Pusat Kuarantin serta Rawatan COVID-19 (PKRC) bersesuaian bagi melancarkan proses ujian saringan itu.

"Syarikat juga perlu menanggung kos pengurusan QS dan PKRC, selain penginapan pekerja, makan, minum serta pengangkutan," katanya ketika sidang media, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, memaklumkan Program Saringan COVID-19 Bagi Pekerja Asing akan dilaksanakan secara bersasar berdasarkan lokaliti Zon Merah yang mempunyai kepadatan pekerja asing tinggi bermula 1 Disember.

Beliau berkata, ujian saringan akan dilakukan menggunakan kaedah RTK Antigen yang diluluskan Kementerian Kesihatan (KKM) dan kit ujian akan dibiayai Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), manakala majikan perlu membiayai kos perkhidmatan dikenakan klinik atau hospital.

Ismail Sabri berkata, sekiranya disahkan positif COVID-19 dan tiada gejala, pekerja boleh ditempatkan di asrama disediakan majikan dengan pengasingan daripada mereka yang disahkan negatif.

"Jika keadaan asrama tidak bersesuaian, pekerja perlu ditempatkan di PKRC yang disediakan majikan," katanya.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, pekerja positif ujian RTK Antigen dan mempunyai gelaja ringan perlu ditempatkan di PKRC disediakan majikan.

"Semua pesakit yang sudah discaj pula perlu dipakaikan gelang pengawasan berwarna selain daripada warna gelang perintah pengawasan dan pemerhatian (HSO), untuk membezakan dengan pekerja yang sedang dalam kuarantin," katanya.

Berita Harian X