Isnin, 30 November 2020 | 12:52pm
-Sarjan Norihan Tari yang ditembak di sempadan Malaysia-Thailand Selasa lalu, dilaporkan semakin baik. Foto fail NSTP/Danial Saad
-Sarjan Norihan Tari yang ditembak di sempadan Malaysia-Thailand Selasa lalu, dilaporkan semakin baik. Foto fail NSTP/Danial Saad

Sarjan Norihan semakin sihat sudah boleh bercakap

ALOR SETAR: Keadaan kesihatan Sarjan Norihan Tari, 39, yang ditembak di sempadan Malaysia-Thailand Selasa lalu dilaporkan semakin baik.

Pegawai Pemerintah Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Perak, Superintendan Rosman Kasman, berkata berdasarkan maklumat yang diterima daripada isterinya, Norihan sudah boleh bercakap dan minum.

Bagaimanapun, katanya Norihan yang masih dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) hanya dapat berbaring dan masih tidak boleh makan makanan pepejal.

"Sehingga kini beliau tidak boleh menerima pelawat lagi dan diminta doktor untuk berehat sepenuhnya selepas kejadian itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar, berkata pakar yang merawat Norihan memaklumkan keadaan kesihatannya semakin baik selepas pembedahan mengeluarkan dua peluru di tubuhnya berjaya.

Abd Rahim berkata, susulan perkembangan itu, Norihan dipindahkan ke wad biasa, namun masih di bawah pemantauan serta pemerhatian doktor pakar.

Dalam kejadian pada jam 3.10 pagi, Selasa lalu, Norihan dan rakannya, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terbabit dalam insiden berbalas tembakan bersama penyeludup sewaktu melakukan rondaan berhampiran Pos TS9 Padang Besar, Perlis.

Bagaimanapun, Baharuddin terkorban selepas terkena tembakan, manakala Norihan yang parah sempat keluar bagi mendapatkan bantuan sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar.

Berita Harian X